Panasnya Hari Ini

Ramai Terkilan Melihat UMNO, DAP Satu Pentas – Tun M

KUALA LUMPUR : Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sedar ramai ahli-ahli UMNO berasa terkilan dan tidak senang apabila melihat pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang dan DAP berada di atas satu pentas dengan pemimpin-pemimpin UMNO yang lama dan baru.

Katanya lagi, persoalan yang sama turut timbul di kalangan ahli dan pemimpin Dap yang amat membenci UMNO, terutamanya beliau sendiri sebagai bekas pemimpin UMNO sejak DAP diasaskan.

Menerusi blognya,chedet.cc, mantan Presiden UMNO itu berkata, amat sukar bagi penyokong kedua-dua parti yang bermusuh sejak sekian lama itu menandatangani Deklarasi Rakyat yang menuntut Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak meletak jawatan.

Tetapi, Tun Mahathir berpendirian bahawa kehadiran bekas pemimpin UMNO dan DAP yang menandatangani deklarasi tersebut bukanlah mewakili parti, sebaliknya menandatangani deklarasi tersebut sebagai rakyat.

“Amat sukar bagi ahli dalam kedua-dua parti yang bermusuh ini menerima bahawa mereka yang menghadiri dan menandatangani deklarasi menolak Najib, menghadiri bukan sebagai ahli dan pemimpin parti politik atau gerakan, tetapi mereka hadir sebagai “citizen”, rakyat Malaysia yang khuatir akan kesan buruk perlakuan Najib sebagai Perdana Menteri.

“Bagi pemimpin UMNO, jika UMNO seperti UMNO dahulu dan segala saluran untuk menghentikan perbuatan yang salah masih ada, penyelesaian boleh dicari dalam parti,”ujarnya.

Tetapi, kata Tun Mahathir, Najib sudah tutup semua saluran yang ada dan hak ahli dalam UMNO, Mesyuarat Agong UMNO, Majlis Tertinggi UMNO sudah tidak lagi berfungsi.

“Mulut anggota dan badan-badan dalam UMNO sudah ditutup rapat oleh Najib dengan berbagai-bagai cara, dengan melumpuh bukan sahaja badan-badan tertentu dalam parti tetapi melalui institusi-institusi kerajaan seperti polis, Peguam Negara, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dan lain-lain.

“Tindakan Najib menekan bukan sahaja parti-parti politik tetapi juga ke atas semua rakyat tanpa mengira kaum atau parti,”tegas beliau.

Sehubungan itu, kata Tun Mahathir, dalam keadaan ini, rakyat yang menjadi mangsa dan tidak lagi dapat bergantung kepada parti politik mereka sendiri untuk perlindungan, dan tidak pun melalui institusi kerajaan yang ditugaskan untuk melindungi keselamatan rakyat.

Mengulas lanjut, bagi semua rakyat Malaysia hanya penyingkiran Najib sahaja yang boleh memulihkan demokrasi negara.

“Tetapi rakyat tidak ada apa-apa jentera yang boleh digunakan untuk menyuarakan pendapat mereka.

“Oleh itu tokoh-tokoh dalam pelbagai bidang, terpaksa membelakangkan pertubuhan dan perjuangan mereka supaya suara mereka dapat diperdengarkan kepada semua.

“Mereka perlu bertindak sebagai “citizen” (rakyat) dan bukan lagi sebagai parti atau badan-badan tertentu,”ujarnya.

Jelasnya lagi, di atas kesedaran itulah yang menyebabkan mereka yang bermusuh membelakangkan permusuhan mereka buat sementara untuk menyelamatkan negara tercinta.

“Mengutamakan parti masing-masing bermakna menyokong dan mengekal rejim Najib.

“Apabila demokrasi dan kebebasan di kembalikan maka perbezaan pendapat antara mereka bolehlah diteruskan,”ujarnya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");