Membawang Hari Ini

Zul siapkan Usin UFO 4 tahun

Filem Pesona Cinta yang diterbitkan pada 1992 berjaya memperkenalkan nama Zul Yahya dalam indusri hiburan tanah air. Nasib menyebelahinya apabila diterima baik pelbagai pihak malah tidak menang tangan menerima tawaran berlakon drama dan filem.

Selepas 24 tahun berlakon, Zul akhirnya beralih ke bidang pengarahan dan kini mampu berbangga kerana berjaya menghasilkan filem Usin UFO terbitan Cahaya DJ Pictures Sdn Bhd.

Empat tahun dia mengambil masa menyiapkan filem ini dan boleh menarik nafas lega apabila akan ditayangkan di pawagam pada 10 Mac ini.

Zul berkata, penat lelahnya mengarahkan Usin UFO yang dibintangi Aishah Ilias, Puteri Sarah Liyana, Aliff Satar, Joey, Liza Abdullah dan Khaty Azean cukup berbaloi.

“Syukur saya dapat peluang mengarah filem. Peluang sebegini takkan datang selalu dan saya usahakan sampai jadi. Filem ini lambat menemui peminat kerana ada masalah dalaman.

“Saya juga kena simpan dahulu filem ini selama setahun kerana pada tahun lalu, situasi pasaran filem kurang memuaskan.

“Saya sudah biasa mengarah drama tetapi untuk filem, ini yang pertama. Pun begitu, saya tidak kekok mengarah Usin UFO kerana cara bekerja tetap sama,” katanya mengakui gementar menantikan reaksi penonton.

Selain mengarah, Zul turut bertindak selaku penulis skrip filem ini. Ia secara tidak langsung memudahkannya menterjemahkan idea ke bentuk visual.

“Selepas menjayakan drama Papaya, saya bekerjasama dengan Cahaya DJ menghasilkan filem ini. Saya dapat idea hasilkan cerita ini selepas menonton dokumentari makhluk asing dan UFO.

“Ia misteri yang diperkatakan penduduk seluruh dunia dari dulu sampai sekarang.

“Sekarang masa paling sesuai untuk saya menghasilkan karya sendiri. Insya-Allah selepas ini menyusul lebih banyak lagi karya komedi yang jarang diterbitkan di Malaysia,” katanya.

Mengulas lanjut filem Usin UFO, Zul berkata dia mengetengahkan naratif yang jarang ditonjolkan sebelum ini dan yakin ekperimental itu mampu menarik perhatian penonton ke panggung.

“Apa boleh saya katakan, jalan cerita filem ini sangat menarik. Ia turut dibintangi barisan pelakon hebat tanah air.

“Saya turut menggunakan teknik imej janaan komputer (CGI) bagi memastikan visual lebih menarik,”katanya.

Zul berkata pembabitannya dalam Usin UFO banyak mendedahkannya kepada pengalaman baru dan ia sangat berharga untuk kariernya.

“Saya belajar banyak perkara dan pengalaman ini tidak boleh diperoleh di tempat lain.

“Saya tidak meletakkan harapan terlalu tinggi terhadap Usin UFO. Saya tidak berani kata diri ini bagus tetapi karya ini akan jadi permulaan yang baik buat saya sebagai seorang pengarah.

“Apa yang penting bagi saya adalah filem ini mampu menghiburkan penonton dan boleh diterima semua golongan masyarakat,” katanya.

Usin UFO yang menerapkan elemen sains fiksyen mengisahkan seorang pemuda bernama Usin yang aktif dengan persatuan dan memiliki sebuah resort percutian yang diuruskan bersama ibu dan adiknya, Husna.

Di kampungnya, Jojo dan rakannya suka mengganggu orang lain. Malah, mereka gemar menghabiskan masa melepak di gerai Mak Cik Limah serta mengganggu Husna dan Suraya. Usin kurang senang apabila adiknya diganggu.

Ikuti kisah seterusnya dengan menonton filem ini di pawagam berhampiran bermula 10 Mac ini.-harian metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");