Berita Hari Ini

Sada diarah lantik kontraktor hantar bekalan air

ALOR SETAR – Kerajaan Kedah mengarahkan Syarikat Air Darul Aman (Sada) untuk melantik kontraktor bagi memudahkan penghantaran bekalan air di kawasan yang sering terjejas berikutan tekanan air rendah.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, keputusan itu dibuat selepas mendengar hasil taklimat daripada Sada yang memaklumkan mereka tidak mempunyai kenderaan yang mencukupi untuk membuat penghantaran bekalan air.

“Saya dimaklumkan bahawa terdapat banyak kawasan yang kerap mengalami masalah bekalan air namun, kenderaan Sada yang tidak mencukupi menyebabkan penghantaran bekalan air menjadi lewat.

“Sebagai jalan penyelesaian, Sada perlu melantik sebanyak mungkin kontraktor bagi mengangkut dan menjalankan penghantaran bekalan air,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Mengubah Destini Anak Bangsa ‘Jom Masuk U’ anjuran Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini hari ini.

Ahmad Bashah berkata beliau juga telah meminta semua wakil rakyat untuk turut membantu SADA dengan menyediakan kenderaan seperti lori yang boleh disewa untuk membawa bekalan air.

Beliau berkata Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) juga telah memberi taklimat berkenaan bekalan air bagi tujuan aktiviti pertanian dan akan melepaskan air dari empangan ke kawasan-kawasan sawah yang berada di bawah Mada.

“Air di Empangan Pedu masih mencukupi walaupun mengalami sedikit penyusutan. Air ini telah disalurkan ke sungai-sungai di seluruh negeri dan dijangka mengambil masa selama 72 jam untuk sampai ke kawasan sawah, jadi petani tidak perlu bimbang,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai bekalan air di Empangan Padang Saga, Langkawi yang berkurangan sehingga 50 peratus, Ahmad Bashah berkata walaupun bekalan air berkurangan, keadaan masih terkawal dan tiada tempat yang terjejas.

“Tiada kawasan yang terjejas sehingga kini, namun kita akan lihat dan fikirkan apa yang perlu dilaksanakan bagi memastikan masalah ini tidak menjadi lebih buruk hingga menyebabkan penduduk dan pelancong di Langkawi terjejas,” katanya.

Sementara itu, mengenai program Mengubah Destini Anak Bangsa yang bertujuan membantu pelajar tercicir untuk menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi, Ahmad Bashah berkata para pelajar tersebut perlu menggunakan peluang ini sebaik-baiknya.

“Kita faham ada beberapa faktor yang menyebabkan mereka tidak mampu untuk menyambung pengajian seperti masalah kewangan, namun, ini merupakan peluang kedua buat mereka, jadi gunakan sebaik-baiknya,” katanya.

– Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");