Panasnya Hari Ini

‘Saya Juga Sedia Bekerjasama Dengan Najib Untuk Selamatkan Malaysia’

KUALA LUMPUR: Veteran DAP, Lim Kit Siang menegaskan bahawa beliau sanggup untuk bekerjasama dengan sesiapa sahaja termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak jika perkara itu perlu dilakukan untuk menyelamatkan Malaysia.

Terdahulu, Lim dikritik hebat oleh banyak pihak selepas sanggup bekerjasama dengan seteru politiknya, iaitu bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menerusi Deklarasi Rakyat.

“Saya bersedia untuk bekerjasama dengan sesiapa sahaja di Malaysia untuk menyelamatkan negara ini, bukan sahaja dengan Mahathir dan (bekas Timbalan Perdana Menteri) Tan Sri Muhyiddin Yassin, malah dengan Najib sekalipun,”katanya, lapor MalaysiaKini.

Katanya lagi, kerjasama dengan Najib boleh dilakukan sekiranya Perdana Menteri bersedia untuk ‘mengakui kesilapan dalam membawa halatuju negara’ dan mengakui perlunya ‘pembaharuan demokrasi dan institusi’.

Jelasnya lagi, beliau percaya bahawa rakyat Malaysia boleh mengenepikan kepentingan diri sendiri dan mengutamakan kepentingan negara serta menyokong kempen untuk ‘menghalang negara daripada menuju ke arah sebuah negara yang gagal’.

Katanya lagi, Deklarasi Rakyat yang ditandatangani oleh bekas pemimpin kanan kerajaan, pembangkang dan NGO adalah untuk menggesa Najib meletak jawatan dan itu merupakan hanya langkah pertama dalam satu perjalanan yang jauh ke arah pemulihan negara.

“Adalah satu kejahilan yang paling besar bagi sesiapa sahaja untuk berfikir bahawa ada dikalangan 45 orang yang menandatangani Deklarasi Rakyat untuk menyelamatkan Malaysia itu, percaya bahawa sehari selepas menandatangani, Najib Razak ditukar dari jawatan Perdana Menteri.

“Jalan ke arah perubahan asas politik di Malaysia adalah panjang dan sukar, dengan Deklarasi Rakyat pada 4 Mac lalu, ia hanyalah merupakan langkah pertama,”ujarnya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");