Berita Hari Ini

Sedia laksana indeks syariah

KUALA TERENGGANU- Kerajaan Negeri Terengganu bersedia menjadi negeri pertama melaksanakan Indeks Syariah Malaysia dalam pentadbirannya, dalam memastikan Terengganu mencapai maqasid syariah (dikehendaki oleh syarak) dalam urus tadbir negeri.

Indeks Syariah Malaysia adalah kaedah pengukuran saintifik yang boleh menepati dua fungsi penting iaitu menilai keseriusan usaha kerajaan dalam menepati piawaian Islam berkaitan dasar dan program kerajaan serta mengenal pasti ruang pembaikan untuk menerima lebih manfaat hasil penerapan nilai sejagat dalam Islam.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, beliau telah menawarkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk melaksanakannya di Terengganu dan secara dasarnya, telah diberikan kebenaran.

“Insya-ALLAH, saya akan ambil cabaran ini untuk kita dapatkan indeks yang baik supaya kita tahu dan ukur indeks yang kita capai daripada aspek politik, ekonomi, sosial dan sebagainya. Bila kita tahu indeks ini, kita akan berusaha dalam menjadikan Terengganu 100 peratus mencapai maqasid syariah,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Makan Malam Santai Menteri Besar Bersama Media Terengganu di Hotel Primula Beach di sini, malam kelmarin.

Najib telah melancarkan Indeks Syariah Malaysia pada 10 Februari 2015, yang mana ia merupakan produk pelengkap tadbir urus Islam di negara ini melalui pengukuran tuntutan syarak yang lebih menyeluruh.

Indeks itu akan menilai dan mengukur keseriusan kerajaan dalam mencapai lima aspek maqasid syariah iaitu pemeliharaan agama, pemeliharaan akal, pemeliharaan keturunan, pemeliharaan nyawa dan pemeliharaan harta.

Ia meliputi lapan bidang utama iaitu perundangan, kesihatan, ekonomi, budaya, politik, pendidikan, prasarana dan persekitaran serta sosial.

“Sebagai pemimpin utama negeri, saya bertanggungjawab penuh dalam menjadikan Terengganu ini sebagai negeri Darul Iman. Kita akan pastikan indeks ini menepati sasaran dan seterusnya mencapai 100 peratus dalam semua aspek,” katanya.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");