Jenayah

Tak sempat solat berjemaah

KUALA KURAU – Perjalanan seorang warga emas ke surau untuk menunaikan solat Isyak berakhir tragedi apabila maut dirempuh sebuah kereta ketika baru sampai di hadapan Surau Batu 13, Jalan Pantai, di sini malam kelmarin.

Saksi hanya mahu dikenali Mohamad, 57, berkata, dalam kejadian jam 8.40 malam, mangsa kejadian, Sulaiman Hussin, 63, yang menunggang sebuah motosikal cuba melintas jalan ke surau untuk menunaikan solat secara berjemaah.

Sewaktu azan sedang dilaungkan dan lebih 10 jemaah bersiap sedia menunaikan solat berjemaah, Mohamad menceritakan mereka dikejutkan dengan bunyi dentuman kuat dari arah hadapan surau.

“Saya dan jemaah lain segera memeriksa dan kami terkejut mendapati mangsa yang dirempuh adalah rakan baik kami.

“Mangsa yang lengkap berkain pelekat dan berbaju melayu dalam perjalanan ke surau ini dan dirempuh ketika cuba melintas dari seberang jalan.

“Mangsa yang mengalami kecederaan parah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan paramedik yang tiba,” katanya kepada media di lokasi kejadian di sini kelmarin.

Mohamad berkata, rakannya itu tinggal kira-kira 500 meter dari surau berkenaan dan sering ke surau terbabit untuk menunaikan solat berjemaah.

“Arwah merupakan seorang yang baik dan sentiasa merendah diri dalam setiap perkara diujarkan.

“Kami bersimpati dengan keluarga arwah dan berdoa semoga roh arwah ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob mengesahkan menerima laporan kejadian.

Menurutnya, siasatan mendapati mangsa yang menunggang motosikal dari arah Kuala Kurau menghala Tanjung Piandang dirempuh di bahagian sisi kanan oleh sebuah kereta Proton Persona yang dipandu seorang wanita berusia 23 tahun.

“Ketika itu mangsa cuba melintas ke surau yang berada di kiri jalan.

“Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan dibawa ke Hospital Parit Buntar untuk bedah siasat. Kes disiasat di bawah seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Dalam pada itu, Adun Kuala Kurau, Abdul Yunus Jamhari menggesa pihak berwajib memasang lampu jalan di sepanjang lokasi kemalangan memandang kawasan berkenaan gelap dan membaik pulih jalan tidak rata.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");