Sukan Hari Ini

Terpaksa tarik diri

Kuala Lumpur: Saya pasrah. Itu yang diungkapkan pemain perseorangan lelaki negara, Iskandar Zulkarnain Zainuddin apabila terpaksa menarik diri daripada beraksi di Terbuka India – kejohanan bertaraf Siri Super pertamanya di luar negara.

Jika tidak disebabkan kecederaan tumit kanan, naib juara Master Malaysia itu sudah tentu mampu menimba pengalaman berdepan dengan jagoan dunia di kejohanan berkenaan.

“Sebelum Terbuka Malaysia (April) saya sepatutnya beraksi di Terbuka India, namun terpaksa membuat keputusan menarik diri kerana perlu melalui proses penyembuhan kecederaan tumit,” katanya.

Pemain kelahiran Johor itu mengakui demi Terbuka Malaysia yang berlangsung 5 hingga 10 April depan, dia mengambil keputusan menarik diri daripada beraksi di India.

“Ini kali pertama saya beraksi di kejohanan bertaraf Siri Super di luar negara tapi ini pula yang berlaku. Memang saya rasa terkilan kerana bukan senang hendak melayakkan diri. Pemain dari ranking pertama hingga ke-40 beraksi di kejohanan berkenaan dan saya sangat teruja tapi sekarang hanya pasrah mengenai perkara ini.

“Minggu ini juga sepatutnya saya beraksi di Terbuka Poland namun tidak pergi. Jadi dua kejohanan saya tidak pergi termasuk Terbuka India selain terpaksa menarik diri Terbuka Switzerland,” katanya yang mengambil keputusan tidak melakukan pembedahan kerana bimbang mengambil masa panjang untuk berehat.

“Mungkin mengambil masa lama jika melakukan pembedahan, saya risau tidak sempat untuk kembali beraksi. Saya harap ada jalan lain untuk mengurangkan kesakitan ini dan kecederaan cepat sembuh jika tidak pergerakan saya terhad,” katanya yang menduduki ranking 41 dunia.

Dalam pada itu, Iskandar juga menganggap undian Piala Thomas memihak kepada Malaysia dan walaupun berada dalam Kumpulan C bersama Korea Selatan, ia tidak bermakna peluang skuad negara muncul juara tipis.

“Dua tahun lalu di New Delhi, kita dapat mengejutkan Korea Selatan. Jadi saya rasa kita tidak perlu takut berdepan mereka.

“Dalam masa sama saya harap dapat mengulangi pencapaian Kejohanan Berpasukan Asia di Hyderabad bulan lalu bagi membolehkan disenaraikan dalam skuad Piala Thomas,” katanya.-harian metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");