Panasnya Hari Ini

Tindakan Tun M Akan Timbulkan Krisis Terhadap UMNO

KUALA LUMPUR: Tindakan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad keluar daripada UMNO pada 29 Februari lalu akan menimbulkan krisis terhadap parti itu pada masa depan.

Penasihat Sosio Budaya Kerajaan, Tan Sri Dr Rais Yatim berkata, keputusan yang diambil oleh Tun Mahathir juga sukar diterima dengan logik akal kerana bekas Presiden UMNO itu adalah seorang pemimpin yang berwibawa dan bersifat lantang di arena antarabangsa serta ASEAN.

“Sekiranya ‘trend’ semua bekas pemimpin besar UMNO keluar parti seperti yang pernah berlaku dahulu melibatkan saya, Tengku Razaleigh Hamzah, Datuk Musa (Tun Musa Hitam), Tunku Abdul Rahman, maka ini akan mengulangi perkara yang berlaku pada 1987 dan 1988 (UMNO diharamkan).

“Tindakan itu sekaligus menimbulkan krisis pada UMNO untuk menghadapi pelbagai kemungkinan di masa depan,”katanya, lapor Utusan Malaysia.

Dr Rais bagaimanapun menghormati keputusan yang diambil oleh Tun Mahathir dan secara peribadi, beliau juga tidak akan melupakan jasa mantan Perdana Menteri itu ketika memegang jawatan tersebut selama 22 tahun.

Sementara itu, beliau turut menyifatkan bahawa cara yang diambil oleh Tun Mahathir untuk mendapatkan perhatian tidak akan memberi impak positif secara menyeluruh.

“Cara Dr Mahathir hendak mendapatkan perhatian dan tentangan terhadap pucuk kepimpinan dengan keluar UMNO tidak akan memberi impak positif yang menyeluruh.

“Adalah lebih baik beliau memberi ingatan kepada kepimpinan supaya menggunakan rasional dan tertib dalam mengikuti prosedur dan berdisiplin, bukan keluar daripada parti,”ujarnya.

Beliau juga turut melihat bahawa UMNO pada ketika ini tidak lagi mempunyai kekuatan kerana Tun Mahathir telah meninggalkan UMNO, Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin digantung tugas dan salah seorang Naib Presiden, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berada di luar kerajaan.

Berikutan itu, beliau mengharapkan agar semua pihak tidak mengeluarkan kata-kata yang boleh merosakkan lagi perpaduan serta mendatangkan kepedihan dalam parti.

“Kita harus mengekalkan budi dalam UMNO dan memikirkan cara berfikir serta bertindak dalam UMNO. Kata-kata seperti ‘baguslah beliau keluar dan meninggalkan parti, lebih senang kita hendak membentuk balik’, ‘habis duri dalam daging’ tidak akan membantu kita untuk mencari jalan memperkasakan orang Melayu.

“Dalam hal ini, apakah transformasi sebenar yang boleh dilakukan oleh UMNO? Bagi saya, semua ahli perlu fokus untuk meraih kemenangan dalam pilihanraya kerana ia bukanlah sesuatu yang mudah.

“Berdasarkan perkiraan saya, selain 1987, tahun ini merupakan tempoh yang sukar untuk parti.

“Cuma nasib baik beliau (Tun Mahathir) sudah mengisytiharkan tidak akan masuk pembangkang, ini menandakan kasih sayangnya pada UMNO tidak mati,”ujarnya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");