Perak Hari Ini

Tindakan Tun M Tidak Melambangkan Demokrasi

IPOH: Presiden PESAKA, Tan Sri Dr Mohd Ali Mohd Rustam menyifatkan tindakan yang diambil oleh Tun Dr Mahathir yang bersekongkol dengan DAP tidak melambangkan demokrasi kerana pemilihan seorang pemimpin dilakukan menerusi Pilihan Raya Umum (PRU).

Ujarnya lagi, maka tindakan untuk menjatuhkan seseorang pemimpin dengan pelbagai cara termasuk demonstrasi dan mendesak Majlis Raja-raja sama sekali tidak wajar dilakukan.

“Ini kerana kalau kita lakukan, ianya tidak akan berakhir kerana kita juga boleh mendesak orang lain untuk diturunkan atas pelbagai sebab.

“Cara yang tidak demokratik ini tidak boleh dibuat di Malaysia, kita tak mahu peristiwa ‘Arab Spring’ berlaku di Malaysia dan bawa ketidakstabilan pada negara serta memberi kesusahan pada rakyat.

“Kita merasa amat dukacita dan membantah sekeras-kerasnya tindakan Tun Mahathir yang berterusan menggunakan parti pembangkang dan Raja-raja,”ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan program ‘Pemimpin Turun Ke Gelanggang Silat Peringkat Negeri Perak 2016’ yang diadakan di PORT, di sini, malam tadi.

Beliau yang juga Senator Dewan Negara turut menegaskan bahawa apa yang dilakukan oleh mantan Perdana Menteri itu diluar demokrasi dan perlembagaan yang dijunjung selama ini.

Dalam masa yang sama, beliau turut berkata, Tun Mahathir suka jika orang dapat mengikut apa yang beliau kehendaki, sebaliknya, mantan Perdana Menteri itu akan menggunakan pelbagai cara jika orang lain tidak mengikuti apa yang beliau kehendaki.

“Dahulu kita selalu kata, kita tak perlu mengikut cara DAP, matlamat menghalalkan cara, tetapi kita nampak kali ini Tun Mahathir menggunakan pendekatan yang sama dengan DAP.

“Ini satu tindakan yang kita tak percaya boleh berlaku, tetapi telah berlaku,”ujarnya.

Dalam masa yang sama, bekas Ketua Menteri Melaka itu turut menegaskan, isu-isu yang berkaitan derma RM2.6 bilion dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) tidak perlu lagi diulang memandangkan perkara tersebut telah dijelaskan.

“Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menyemak dan tidak ada penyelewengan, tidak ada salah guna kuasa, dan tidak ada rasuah.

“Perkara ini tidak boleh diulang-ulang balik kerana bila diulang, pembangkang akan mengambil kesempatan. Mereka menuduh perkara-perkara yang telah dijawab,”tegasnya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");