Membawang Hari Ini

Tuah Saharul, Janna: DFKL 2016 beri platform baharu

MALAM Drama Festival Kuala Lumpur (DFKL) 2016 yang berlangsung Sabtu lalu telah menyaksikan kemenangan besar buat drama terbitan JS Pictures, Kau Aku Kita.

Apatah lagi, malam anugerah itu turut mengetengahkan bakat sedang meningkat naik Saharul Ridzwam dan Janna Nick sebagai pemenang pilihan penonton dalam kategori Aktor Pilihan, Aktres Pilihan dan Pasangan Pilihan menerusi drama yang sama.

Berkongsi perasaan gembira, pemilik nama sebenar Nurul Jannah Muner, 21, kemenangan pada malam itu dianggap sebagai satu permulaan buat dirinya untuk meneruskan kerjaya sebagai seorang pelakon.

“Alhamdulillah, terima kasih kepada semua peminat. Sebenarnya saya seorang yang tidak gemar untuk meletakkan harapan yang tinggi dalam sesuatu perkara dan saya memang tidak mengharapkan apa-apa untuk menang pada malam anugerah ini.

“Bagi saya, ini adalah satu permulaan. Apabila satu pencapaian dan tanda aras telah diletakkan di tahap ini, saya tidak hanya perlu untuk mengekalkan, malah perlu berusaha lebih untuk meningkatkan lagi karier lakonan saya selepas ini.

“Cabaran ini lebih besar kerana langkah lebih jauh perlu saya aturkan. Saya akui kemenangan ini juga buat saya gementar kerana takut satu hari nanti saya akan mengecewakan semua orang yang menyokong saya selama ini,” katanya pada sidang media malam DFKL 2016, kelmarin.

Pada masa sama, Janna turut mengakui kemenangannya juga sedikit sebanyak hasil tempias gelarannya sebagai duta DFKL 2016.

“Perkara itu memang saya tidak nafikan. Sebenarnya saya dilantik menjadi duta juga adalah atas dasar populariti yang diraih drama lakonan saya itu.

“Saya rasa ia sedikit sebanyak membantu dalam kemenangan saya malam ini (Sabtu) kerana lebih banyak masa saya telah luangkan dengan peminat menerusi siri jelajah yang diadakan ke beberapa lokasi,” jelasnya.

Bangga menjadi pilihan

Memiliki tuah sama, Saharul akui bangga dengan kemenangan itu kerana keputusan itu ia adalah atas pilihan peminat sendiri.

“Alhamdulillah, saya rasa sangat bangga kerana anugerah ini dipilih dan diundi oleh orang yang menyokong saya di luar sana.

“Saya berterima kasih kepada mereka begitu juga dengan semua krew produksi JS Pictures dan Janna sendiri yang banyak membantu saya dalam menjayakan lakonan ini.

“Saya tidak menjangkakan langsung untuk menang dalam apa-apa anugerah setakat ini kerana tujuan saya berkecimpung dalam bidang ini adalah untuk bekerja semata-mata, lagi pun saya masih baharu,” katanya teruja.

Percaya dengan usaha dan keikhlasan dalam sesuatu pekerjaan bakal membuahkan hasil, Saharul komited untuk terus mencipta nama dalam karier lakonannya.

“Guru-guru saya dalam industri selalu berpesan, jika kita usaha dan ikhlas InsyaAllah kita akan berjaya sekali gus anugerah itu sendiri akan datang menyapa tanpa perlu dicari

“Kemenangan saya pada malam ini akan menjadikan saya seorang pelakon yang lebih baik dan saya juga anggap ia sebagai satu lagi tanggungjawab besar untuk saya,” ujarnya.-sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");