Sukan Hari Ini

Watford tamatkan impian hatrik Arsenal

London: Jaringan Odion Ighalo (gambar) dan Adlene Guedioura memastikan Watford menamatkan penguasaan dua tahun Arsenal sebagai pemilik Piala FA dengan kemenangan 2-1 pada aksi suku akhir di Stadium Emirates malam tadi.

Ighalo meletakkan Watford di depan pada minit ke-50 sebelum Troy Deeney membantu pemain sayap Algeria Guedioura untuk rembatan ke sudut kanan atas gawang.

Jaringan Danny Welbeck pada minit ke-88 bagaimanapun sudah terlambat untuk menyelamatkan keadaan.

Arsenal yang menjulang Piala FA pada 2014 dan 2015 tewas buat kali pertama dalam kejohanan itu sejak tewas 0-1 pada pusingan kelima di tangan Blackburn Rovers pada Februari 2013.

Keputusan itu mendedahkan mereka kepada kemungkinan gagal meraih sebarang trofi musim ini, apabila skuad Arsene Wenger yang diejek pada minit terakhir, ketinggalan lapan mata dalam Liga Perdana Inggeris. Mereka juga ketinggalan 0-2 kepada Barcelona menjelang perlawanan kedua aksi pasukan 16 terbaik Liga Juara-Juara di Camp Nou awal pagi Khamis.

Status perlawanan itu mendorong Wenger menurunkan skuad terkuatnya menentang Watford kendalian Quique Sanchez Flores yang ketika ini menduduki tangga ke-14 Liga Perdana Inggeris.

Biarpun kehadiran Alexis Sanchez dan Mesut Ozil membantu Arsenal mendominasi 45 minit pertama, skuad tuan rumag terus buntu mencari kelebihan yang mampu dimanfaatkan untuk peluang jaringan.

Watford dipaksa bertahan sejak awal perlawanan dan berjaya memanfaatkan perintah ofsaid apabila Olivier Giroud menyudahkan hantaran Sanchez.

Namun Arsenal perlu dipersalahkan atas kegagalan mereka di depan gol lawan apabila Mohamed Elneny mensia-siakan dua peluang terhidang di depan gawang.

Pemain tengah Mesir itu berada dalam kawasan penalti pada minit ke-30 selepas mendapatkan hantaran Per Mertesacker namun hilang keseimbangan dan membuatkan sepakannya tersasar.

Berbaki empat minit sebelum separuh masa, Elneny mendapat satu lagi peluang terhidang namun sekali lagi bertindak terburu-buru menyebabkan percubaannya tidak menjadi. – AFP/harian metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");