Perak Hari Ini

11 Projek Terbengkalai Di Perak Berjaya Disiapkan

IPOH: Sebanyak 11 daripada 16 projek terbengkalai yang direkodkan dari tahun 2010 hinnga 31 Julai 2015 berjaya disiapkan.

Exco kerajaan negeri, Datuk Rusnah Kassim (BN-Behrang) berkata, sebanyak dua lagi projek sedang dalam pelbagai peringkat pemulihan dan tiga lagi projek sedang dalam perancangan awal pemulihan.

Jelasnya, 11 projek terbengkalai yang telah siap dipulihkan ialah Puncak Bougainvilla Sungai Buaia (Kuala Kangsar), Tamat Bukit Riah, Kroh (Gerik), Taman Jalan Intan Pertama (Gerik), Taman Pinggir Rishah Hijau (Ipoh), Taman Gading Sungai Terap (Kinta) dan Desa KPMP (Kampung Gajah).

Selain itu ialah Taman Sri Bemban (Batu Gajah), Taman Perpaduan Permai Bercham (Ipoh), Taman Kola Lenggong (Hulu Perak), Kinta Pine Villa (Kinta) dan Taman Gopeng Perdana (Kampar).

“Manakala dua projek terbengkalai yang sedang dipulihkan adalah Taman Tapah Permai (Tapah) dan Taman Kinding Raya, Changkat Kinding (Ulu Kinta).

“Tiga projek terbengkalai yang masih dalam perancangan untuk dipulihkan ialah Taman Limau Mas (Beruas), Taman Diawan (Kampar) dan Taman Seri Emas (Kampar),”ujarnya ketika menjawab soalan lisan yang diajukan oleh Tan Kar Hing (PKR-Simpang Pulai) dalam Sidang Dewan Negeri, hari ini.

Rusnah berkata, kerajaan negeri memang memandang serius permasalahan yang dihadapi berkaitan dengan projek perumahan terbengkalai di negeri Perak.

Sehubungan itu, ujarnya, kerajaan negeri telah menjalankan kerjasama pintar bersama dengan Kerajaan Persekutuan yang telah mengambil beberapa inisiatif dan langkah untuk menangani masalah projek terbengkalai.

“Kerajaan negeri melalui Bahagian Awam bersama Kerajaan Persekutuan melalui Jabatan Perumahan Negara mengambil tindakan dengna mengenal pasti pemaju-pemaju yang berkupayaan dan berpengalaman untuk mengambil alih kerja-kerja pemulihan projek perumahan swasta terbengkalai.

“Kedua, memantau pemulihan projek-projek perumahan swasta terbengkalai terutamanya kategori kos rendah dan kos sederhana melalui peruntukan yang disediakan oleh kerajaan persekutuan.

“Ketiga, bekerjasama dengan Jabatan Insolvensi Malaysia atau pelikuidasi swasta bagi membantu memulihkan projek perumahan terbengkalai dan keempat, mengenakan tindakan pendakwaan serta kompaun ke atas pemaju-pemaju yang tidak mematuhi ke atas pemaju-pemaju yang tidak mematuhi peruntukan dan peraturan yang terkandung di dalam Ata Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1996 (Akta 118),”kata Rusnah.

Bagi memastikan perkara tersebut tidak berulang lagi, Rusnah berkata, kerajaan negeri sentiasa mendapatkan maklumat dan pengesahan daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk menyemak status pemaju-pemaju yang ingin beruusan dengan pihak kerajaan negeri.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");