Membawang Hari Ini

Beri laluan artis baru

Lebih 15 tahun berkecimpung dalam bidang muzik, penyanyi Azlan & The Typewriter mengakui kini lebih selesa bekerja di belakang tabir berbanding depan kamera.

Bagi pemilik nama sebenar, Nor Azlan Rosle ini, walaupun kurang publisiti, dia sebenarnya aktif sebagai komposer dan bekerjasama dengan beberapa stesen televisyen. Pada masa sama, dia juga sibuk merencana bisnes sendiri menerusi syarikat Darkliquids Music Production Sdn Bhd (DMP).

“Sebagai pemuzik, saya perlu ada strategi untuk memastikan nama terus bertahan dan relevan di persada muzik tempatan. Bukannya saya sombong atau bertaraf eksklusif untuk muncul dalam pelbagai acara hiburan dan majlis anugerah, sebaliknya saya menganggap soal glamor dan populariti bukanlah keutamaan lagi,” katanya.

Sebagai pemuzik, Azlan mengakui dia memiliki tanggungjawab besar untuk bersama-sama memartabatkan lagi bidang muzik tanah air.

“Selain menghasilkan lagu untuk artis lain menggunakan nama Dark, saya juga berkongsi ilmu sebagai mentor dalam program realiti TV3, Mentor Milenia sebelum ini. Pada masa sama, saya dan rakan seperjuangan dalam bidang seni juga ingin memberi laluan kepada artis baru pula pula mengetengahkan bakat mereka.

“Kemunculan ramai bakat baru dan pelapis ini penting untuk merancak dan memastikan industri muzik tempatan berkembang dan mengikuti aliran muzik terkini,” katanya.

Ditanya dakwaan mengenai band The Typewriter sudah berpecah, Azlan menafikannya.

“Memang saya sibuk menguruskan bisnes sehingga orang fikir kami sudah berpecah. Hakikatnya, kami masih bersama seperti dulu. Setiap kali ada undangan persembahan, band The Typewriter yang akan mengiringi persembahan. Jika tiada persembahan, mereka juga ada komitmen kerja masing-masing,” katanya.

Mengenai album baru pula, kata Azlan, dia akan muncul dengan EP tidak lama lagi.

“EP ini akan memuatkan lima lagu yang semuanya saya hasilkan sendiri. Buat masa ini, saya ingin mempromosikan single baru dulu,” katanya.

Showcase di Hard Rock Cafe

Kali terakhir, Azlan & The Typewriter menjayakan persembahan di pentas Hard Rock Cafe ialah kira-kira 10 tahun lalu.

Selepas sekian lama, penyanyi yang dikenali dengan Lagu Untukmu dan Tanda Tanya ini akan menjayakan showcase di pentas Hard Rock Cafe serata tanah air termasuk Singapura, tahun ini.

“Showcase saya akan bermula di pentas Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur pada tanggal 24 April ini. Apa yang menarik, saya akan menyampaikan rangkaian lagu popular daripada album pertama sehinggalah lagu baru termasuk medley sekali gus mengubat kerinduan peminat.

“Ia juga boleh memuatkan seramai 700 orang pada satu masa. Saya juga berharap peminat tidak akan melepaskan peluang­ untuk menyaksikan ‘showcase’ istimewa ini. Selain itu, saya juga akan melancarkan single baru berjudul Lebih baik Sendiri pada showcase nanti,” katanya.

Apa yang menarik, Azlan turut menampilkan barisan protegenya dalam program Mentor Milenia iaitu Sharifah Nurilmuhayati Syed Hussain (Nuri), Nur Izzati Mohd Rashid (Zetty) dan Siti Wan Ainnur Mohd Redzuan (Ain) sekali gus memeriahkan lagi showcase ini.

Showcase Rock & Roll bersama Azlan & The Typewriter akan berlangsung di pentas Hard Rock Cafe Kuala Lumpur dari jam 3 hingga 5 petang pada 24 April ini.

-Harian Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");