Perak Hari Ini

Dana RM20,000 Diperlukan Untuk Menaik Taraf Surau

SELINSING: Jawatankuasa Kariah Surau Al-Khairiah, Jalan Samagagah di sini mengalu-alukan sumbangan orang ramai menyalurkan dana bagi membantu menyempurnakan projek membaik pulih dan menaik taraf surau itu yang telah dimulakan sejak awal tahun ini.

Pengerusinya, Mohd Zaini Abdul Rahman berkata, sebanyak tambahan RM20,000 diperlukan bagi menyempurnakan kerja menaik taraf surau yang kini mencapai 65 peratus, di mana sejumlah hampir RM50,000 sudah dibelanjakan pihaknya.

Tambahnya, wang dana yang berjaya dikutip adalah melalui sumbangan penduduk kariah, penawaran lot wakaf akhirat yang dipromosi melalui laman sosial internet, sumbangan wakil rakyat dan sumbangan badan korporat prihatin.

“Perancangan menaik taraf surau berusia lebih 50 tahun itu diputuskan jawatankuasa kariah setelah kami mengenal pasti terdapat sebahagian besar tiang asas masjid sudah reput dimakan anai-anai.

“Dalam tempoh tiga bulan, kami berjaya mengumpulkan dana pembinaan surau bernilai hampir RM50,000 melalui pelbagai inisiatif yang diusahakan Lajnah Pembangunan Belia surau ini.

“Lebih membanggakan, projek menaik taraf surau ini 100 peratus dilaksanakan secara bergotong-royong oleh lebih 40 sukarelawan penduduk kampung termasuk golongan belia,”katanya.

Sebilangan sukarelawan sedang membantu menyiapkan kerja menaik taraf Surau Al Khairiah yang giat dijalankan

Mohd Zaini berkata, melalui perlaksanaan kerja gotong-royong penduduk kariah pada setiap hujung minggu, pihak masjid bukan sahaja dapat menjimatkan kos kerja menaik taraf surau, sebaliknya keluasan asal surau berjaya diperbesarkan.

Ujarnya lagi, sebelum ini struktur asal surau hanya mampu memuatkan 300 jemaah pada satu-satu masa, namun kini mampu dipertingkatkan kepada 500 jemaah.

“Dana tambahan yang diperlukan itu akan digunakan bagi menampung kos penyediaan siling baharu, kerja pendawaian elektrik, pemasangan pendingin hawa dan aksesori surau berkaitan.

“Kami berharap kerja menaik taraf surau dapat disempurnakan sebelum bulan Ramadhan bagi membolehkan jemaah menjalani solat terawih dengan lebih selesa,”katanya.

Mohd Zaini turut menegaskan perlaksanaan kerja menaik taraf surau tidak menjejaskan aktiviti harian surau dan kehadiran jemaah untuk beribadat seperti biasa.

“Selain itu, pihak kami turut berterima kasih kepada Ahli Parlimen Bagan Serai, Dr Noor Azmi Ghazali yang menyalurkan sumbangan bumbung surau dan pembinaan tandas baharu bagi kemudahan jemaah surau ini.

“Saya berharap inisiatif sumbangan daripada wakil rakyat dan agensi kerajaan berkaitan dapat diteruskan bagi memastikan impian penduduk Kampung Jalan Samagagah menerima surau berwajah baharu dapat direalisasikan,”katanya.

Mereka yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menyalurkannya melalui akaun Bank Rakyat di bawah nama Surau Al Khairiah bernombor 110051000471 ataupun hubungi Zaini (017-5271385), Ahmad Kamil (012-5134312) dan Aminuddin (017-4711322) untuk keterangan lanjut.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");