Sukan Hari Ini

Debaran Barca

Madrid: Barcelona boleh mengatasi prestasi tidak menentu liga domestik dengan menempah tiket ke separuh akhir Liga Juara-Juara apabila mereka bertandang ke Atletico Madrid, awal pagi esok.

Juara tiga trofi musim lalu Barca melalui prestasi terburuk dalam La Liga sejak jurulatih Luis Enrique mengambil alih pada Ogos 2014, kalah dua perlawanan terakhir mereka di tangan Real Madrid dan Real Sociedad dan seri dengan Villarreal.

Sekalipun keputusan itu menyaksikan pendahuluan mereka dalam La Liga ke atas pasukan tangga kedua Atletico dikurangkan kepada tiga mata, Barca masih berada di landasan terbaik muncul pasukan pertama Sepanyol meraih tiga trofi dua tahun berturut-turut, dengan final Piala Raja Sepanyol menentang Sevilla akan berlangsung bulan depan.

Pelawat memiliki kelebihan 2-1 daripada aksi pertama bagi perlawanan timbal balik di Vicente Calderon, dua gol Luis Suarez memadamkan gol pembukaan Fernando Torres selepas bekas penyerang Chelsea itu dibuang padang pada minit ke-35.

“Tiada masa untuk memohon maaf atau mencari alasan, kami perlukan keputusan. Ia bukannya masa untuk bermuram durja dan memikirkan kami bertindak buruk,” ujar Enrique.

“Ada alasan untuk bersikap optimis sekalipun keputusan tidak seperti yang kami mahukan.”

Pertahanan Thomas Vermaelen terpaksa diketepikan dan Rafinha juga diragui kerana kecederaan.

Enrique juga mungkin memanggil semula Jordi Alba, Andres Iniesta dan Ivan Rakitic selepas memulakan mereka di bangku simpanan ketika kalah 0-1 kepada Sociedad hujung minggu lalu.

Atletico bermimpikan untuk mengulangi kejayaan pada suku akhir kedua 2014 menentang Barca apabila gol awal Koke memastikan kemenangan 1-0 dan 2-1 secara agregat.

“Stadium pastinya bingit. Saya pasti ia akan menjadi satu malam yang hebat,” jelas Koke, pemain tengah.

“Minggu lalu kami tidak menang kerana beberapa situasi yang tidak memihak kami tapi di laman sendiri kami mahu mengubah semua itu. – Reuters/harian metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");