Jenayah

Dua premis judi kena serbu

KOTA TINGGI: Lima lelaki ditahan, manakala pelbagai peralatan perjudian dirampas dalam serbuan berasingan di dua premis pada Ops Dadu dijalankan Polis Kota Tinggi.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Rahmat Othman berkata, serbuan pertama dilakukan pada 3 April, kira-kira jam 10.30 malam oleh sepasukan lapan anggota Task Force diketuai Inspektor Ong Eng Yew di sebuah premis dekat Taman Kota Jaya.

Menurutnya, dalam serbuan itu pasukan terbabit menahan tiga lelaki berusia 20, 34 dan 50 tahun di mana dua daripadanya beralamat di Kota Tinggi, manakala seorang lagi di Perak.

“Hasil serbuan, kita telah merampas satu set komputer (set master), 13 komputer riba, 13 tetikus, 13 buah adapter, 13 kerusi plastik, lima meja panjang dan satu unit TP Link.

“Kesemua yang ditangkap direman empat hari dari 4 hingga 7 April untuk membantu siasatan,” katanya di sini semalam.

Rahmat berkata, dalam serbuan pada 4 April pula, dua lelaki beralamat di Kampung Makam ditahan bersama peralatan mesin judi di sebuah premis dekat Taman Ria, kira-kira jam 10.40 malam.

Katanya, bertindak atas maklumat, Inspektor Ong Eng Yew bersama anggota Jabatan Siasatan Jenayah dan anggota Cawangan Pencegahan Jenayah Balai Kota Tinggi telah melakukan serbuan tersebut.

“Seorang suspek berusia 21 tahun yang juga penjaga premis dan seorang pemain berusia 28 tahun ditahan.

“Ekoran itu kita telah merampas satu set komputer (set master), satu modem Wifi jenama TM, lapan komputer riba, lapan tetikus, lapan adapter, tiga kerusi plastik, satu meja panjang dan wang tunai RM50.

“Dua lelaki terbabit direman empat hari bermula 5 hingga 8 April untuk membantu siasatan. Kes disiasat di bawah Seksyen 4B(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953,” katanya lagi.

Beliau berkata, polis Kota Tinggi akan terus melakukan serbuan, tangkapan dan rampasan bagi membanteras kegiatan perjudian termasuk perjudian atas talian.

Katanya, orang awam yang mempunyai maklumat aktiviti perjudian dan jenayah lain diminta bekerjasama dengan menyalurkan maklumat ke Bilik Gerakan IPD Kota Tinggi di talian 07-8837222.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");