Berita Hari Ini

El Nino: 6,509 pengguna Temerloh, Lipis terjejas

KUANTAN – Sebanyak 6,509 akaun pengguna di Temerloh dan Lipis terjejas sejak seminggu lalu, ekoran gangguan di tiga loji air akibat kesan fenomena El Nino yang melanda negara.

Pegawai Perhubungan Awam Dan Komunikasi Korporat Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) Nurul Farhana Abdul Hamid berkata pengguna di dua daerah berkenaan mengalami masalah tekanan air rendah berikutan air surut.

“Gangguan di Temerloh melibatkan loji air di Lubuk Kawah yang membekalkan air kepada 360 akaun pengguna di sekitar kawasan bandar Mentakab, Lanchang serta beberapa kampung di Temerloh.

“Bagi daerah Lipis, sebanyak 6,149 akaun dikesan mengalami gangguan yang sama selepas dua loji air iaitu Loji Air Jelai dan Batu 9 turut mengalami tekanan paras air yang rendah,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Nurul Farhana bagaimanapun memberi jaminan bahawa PAIP telah mengambil tindakan dengan menghantar lori tangki ke kawasan yang terjejas selain turut menyediakan tangki statik serta penyediaan pam tambahan di loji berkenaan.

Beliau bagaimanapun tidak dapat memberi kata putus bila masalah itu dapat diatasi memandangkan keadaan tersebut bergantung kepada keadaan cuaca.

Sementara itu, penduduk di Kampung Tanjung Lipis Siti Rohani Yusof, 32, berkata gangguan bekalan air itu telah dialami sejak seminggu lalu menyebabkan dia dan keluarganya terpaksa menggunakan air sungai berhampiran rumahnya.

“Kadang-kadang air yang keluar sangat halus airnya sehinggakan saya terpaksa bawa saudara-mara yang pulang ke kampung pada Sabtu lalu mandi di sungai,” katanya.

Seorang penduduk di Taman PKNP di Lipis Abdul Mail Ismail, 64, turut merasai masalah bekalan air yang menyukarkannya melakukan aktiviti harian memandangkan dia banyak berada di rumah selepas bersara.

Dia berharap masalah itu dapat diselesaikan segera kerana kasihan dengan ibu bapa yang mempunyai anak kecil di rumah.

– Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");