Panasnya Hari Ini

Hasan Sunting Laporan PAC, Dakwa Pembangkang

KUALA LUMPUR: Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), Datuk Hasan Arifin didakwa melakukan kesalahan serius kerana menyunting laporan PAC mengenai 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berhubung pemilikan syarikat Good Star Limited (GSL).

Timbalan Pengerusinya, Dr Tan Seng Giaw berkata, ahli PAC daripada pembangkang mendakwa Hasan tidak mematuhi keputusan mesyuarat jawatankuasa itu pada 4 April lalu.

“Berdasarkan dokumen yang dikemukakan oleh Datuk Sharol Azral pada 5 Jun 2015 dan kenyataan beliau semasa mesyuarat PAC pada 25 September 2015, akaun tersebut adalah milik GSL yang merupakan subsidiari Kumpulan PetroSaudi sejak 1 September 2009.

“Namun, pengerusi PAC telah memotong sepatah ayat lagi yang dipersetujui dalam mesyuarat,”katanya, lapor Sinar Harian.

Laporan PAC pada muka surat 25, antara lain menyebut, ‘Bank Negara Malaysia (BNM) telah dimaklum secara sukarela oleh pihak berkuasa negara berkenaan bahawa GSL merupakan sebuah syarikat yang dimilik oleh seorang individu tiada kaitan dengan Kumpulan Petrosaudi’.

Sementara itu, Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua berkata, tindakan pengerusi PAC itu jelas melanggar peraturan mesyuarat dan menimbulkan kecurigaan terhadap niat pengerusi untuk menutup kes tersebut.

“Datuk Hasan tidak pernah membincangkan perkara tersebut dengan kami, sama ada rasmi atau tidak rasmi.

“Beliau hanya memaklumkan mahu mendapat maklumat tambahan daripada BNM mengenai pemilik individu tersebut, namun belum mengetahui statusnya,”ujarnya.

Dalam masa yang sama, pihaknya turut menyeru agar Hasan dapat memperbetulkan laporan tersebut dengan serta merta melalui satu kertas pembetulan kepada Parlimen.

Sementara itu, Ahli Parlimen Selayang, William Leong berkata, pengerusi PAC boleh dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan kerana bertindak di luar keputusan mesyuarat.

“Dia boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 20, peraturan mesyuarat,”tegasnya.

Tony bagaimanapun berkata, pihaknya mahu Hasan memberi maklum balas terhadap pendedahan mereka sebelum mengambil tindakan susulan.

“Kita tunggu dia respon dulu. Dia tiada kuasa untuk ubah laporan PAC itu. Tindakan rujuk ke jawatankuasa itu adalah tindakan susulan selepas ini.

“Kalau Hasan boleh kata ia berlaku kerana kesilapan atau hilang, kemudian diletak balik, itu saya boleh terima,”tegasnya.

Tony berkata, setakat ini, pihaknya hanya dapat mengesan ia dibuat di muka surat 25 sahaja.

“Yang diterbitkan sangat pendek ayatnya. Kami hanya kesan satu ayat sahaja setakat ini.

“Saya rasa kesimpulan tidak diubah, tetapi fakta yang terkandung dalam laporan itu akan beri implikasi yang cukup besar kepada rakyat,”ujarnya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");