Sukan Hari Ini

‘Jangan ulang lagi’

Johor Bahru: Pengendali Johor Darul Ta’zim (Johor DT) Mario Gomez nyata gembira dengan kemenangan 6-2 secara agregat apabila menewaskan Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada aksi suku akhir kedua Piala FA sekali gus layak ke separuh akhir.

Namun, ada nada membimbangkan buat Gomez yang mahu pemainnya supaya tidak mengulangi kesilapan dilakukan pada babak kedua selepas terlalu memberi ruang kepada PDRM hingga lawan mampu menjaringkan dua gol.

Katanya, senario itu tidak harus berlaku tatkala sudah selesa mendahului lawan dengan jaringan 4-0 pada babak pertama malah sudah mengarahkan pemain supaya mengawal permainan dan tidak hilang pegangan bola.

“Aksi babak pertama cukup menggembirakan saya selepas kami berjaya menjaringkan empat gol malah kerap mengawal perlawanan di setiap posisi hingga sukar untuk pasukan lawan bergerak.

“Namun, apabila aksi babak kedua bersambung, pemain saya seolah-olah hilang tumpuan dan kesempatan itu digunakan sepenuhnya pemain lawan menjaringkan dua gol dan saya agak terkilan malah perlu segera memperbaiki kesilapan itu.

“Sepatutnya pemain mengawal permainan dan mengelak daripada kehilangan bola tapi mereka buat silap dan saya tidak mahu terburu-buru menghukum mana-mana pemain sebaliknya ada ruang untuk perbaiki apa jua kesilapan,” katanya.

Bagi Gomez yang menyifatkan Johor DT perlu mengharungi jadual padat, langkah mengeluarkan Jorge Pereyra Diaz pada babak kedua dan kapten Safiq Rahim serta Azamuddin Akil bagi memastikan pemainnya mendapat tempoh rehat yang cukup.

Jelasnya, kelibat gandingan Aidil Zafuan Radzak dan Marcos Antonio membentuk benteng pertahanan ampuh dibantu kekentalan S Kunanlan dan Fazly Mazlan yang berjaya menutup ruang buat pemain sayap kanan dan kiri lawan menyusup masuk.

“Saya juga puas hati dengan permainan Azinee Taib yang menunjukkan peningkatan mendadak, malah dia sudah mula sedar untuk berada dalam kesebelasan utama harus bekerja lebih kuat dan sentiasa konsisten sepanjang perlawanan.

“Selepas layak ke separuh akhir Piala FA, saya mahu melupakan saingan itu buat sementara dan kembali menumpukan pada saingan Liga Super apabila berdepan Perak di laman sendiri, malam esok,” kata Gomez.

-Harian Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");