Sukan Hari Ini

JDT waspada ancaman Perak

JOHOR Darul Ta’zim (JDT) akan mengambil pendekatan lebih berwaspada apabila menanti kunjungan Perak dalam pertemuan Liga Super di Stadium Tan Sri Dato Hassan Yunos, malam ini.

Pengendalinya, Mario Gomez turut mengakui The Boss Gaurus mempunyai kehebatan tersendiri mampu mencipta kejutan sekiranya pemainnya memandang mudah cabaran pelawat.

“Perak pasukan bagus. Mereka miliki pemain yang sangat bersemangat. Saya percaya kekuatan itu yang menjadikan pasukan tersebut antara pasukan digeruni dalam saingan ini.

“Selain itu, dibarisi dengan pemain muda juga menjadi kelebihan buat mereka. Ini kerana saya jangka, corak permainan yang mereka akan gunakan adalah bermain dengan laju dan mendatangkan masalah jika gagal dikekang dengan betul,” katanya ketika dihubungi.

Katanya, perancangan taktikal yang lebih khusus akan diperkemas untuk mengelak berlakunya sebarang kesilapan mudah dilakukan pemain.

“Saya percaya, gaya permainan yang akan Perak gunakan adalah dengan menggunakan hantaran pendek dan serangan laju, mereka juga mampu untuk turun ke bawah dengan cepat jika kehilangan bola.

“Saya tidak pasti tentang 90 minit perlawanan mereka dan saya beranggapan gaya permainan ini agak meletihkan dan pasukan saya akan mencari peluang berdasarkan kelemahan tersebut,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, perubahan pemain akan dilakukan bagi memberi peluang kepada pemain utama untuk berehat memandangkan bakal berdepan jadual perlawanan padat bulan ini.

“Pada perlawanan ini, kemungkinan saya akan menurunkan Harris Harun bagi mengembalikan semula prestasi asalnya selepas baru pulih daripada kecederaan.

“Lucero juga kini sudah mula menunjukkan peningkatan, ini dapat dilihat menerusi keserasiannya bersama pemain lain apabila beberapa cubaan gol dapat dihasilkan sebelum ini,” katanya.

Dalam pada itu, pengurus kelahiran Argentina itu turut menggesa pemain Harimau Selatan untuk sentiasa menggunakan segala peluang yang ada, selain memanfaatkan kelebihan apabila beraksi di hadapan ribuan penyokong sendiri.-sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");