Jenayah

Jerry Black dijel 9 tahun, 11 sebatan

KOTA BHARU: Seorang penjenayah ganas bersabit kesalahan rompakan bersenjata tajam dan cabul dihukum penjara sembilan tahun serta 11 sebatan di mahkamah sesyen, di sini, tadi.

Jerry Black atau nama sebenarnya, Mohd Azri Md Zain, 32, dihukum Hakim, Ahmad Bazli Bahruddin selepas tertuduh mengaku bersalah.

Tertuduh didakwa pada dua tuduhan samun bersenjata dan mencabul seorang mangsa wanita berusia 25 tahun, dalam dua kejadian berasingan, tahun lalu.

Tertuduh didakwa bersama seorang lagi yang masih bebas, merompak Harithsa Afiq Mohd Zainuri,19, dengan melarikan dua komputer riba; masing-masing dua rantai, subang dan gelang tangan emas; tiga jam tangan berjenama, sebuah telefon pintar dan beg duit mengandungi pelbagai kad serta wang tunai RM30.

Kejadian berlaku di sebuah rumah di Taman Permai Demit, Jalan Sultanah Zainab II, Kubang Kerian, di sini, pada jam 11.15 pagi, 27 Mei 2015.

Sementara pada satu lagi tuduhan lain, tertuduh didakwa bersama dua lagi yang masih bebas merompak sebuah komputer riba; masing-masing dua rantai, subang dan gelang emas; tiga loket emas; empat cincin dan wang tunai RM2,200 serta kad pengenalan diri yang keseluruhannya bernilai RM8,000.

Dalam kejadian itu mangsanya seorang wanita yang sudah berkahwin dicabul tertuduh yang merompaknya di alamat Taman Tengku Rothaudeen, Melor, di sini, pada jam 3.30 pagi, 10 Mei tahun sama.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya negeri, Fahrul Razi Zainal Abdin, manakala tertuduh diwakili peguam, Ahmad Nuri Ab Rahman.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");