Isu Panas

Johor mantap dipimpin Khaled, apa perlu tukar MB?

SHAH ALAM – Penganalisis politik berpendapat masa depan Johor memberi kesan besar kepada Kerajaan Persekutuan susulan Umno di negeri itu merupakan tulang belakang kepada Umno serta BN secara keseluruhannya.

Pensyarah Fakulti Pengurusan Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Kassim Tukiman berkata, Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin sejak mengambil alih pentadbiran selepas Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu terus bekerja demi membangunkan negeri itu.

“Kalau dilihat dalam suasana sekarang, Johor begitu mantap dari segi politik dan program pembangunan. Ada pula sinergi…kerjasama yang kuat antara kerajaan, istana serta rakyat.

“Jadi, atas semangat yang mantap itu, pada hemat saya, apa perlunya nak timbulkan isu pertukaran kepimpinan sebab beliau sendiri sudah buktikan kewibawaannya dalam menerajui parti dan merancang projek pembangunan demi rakyat di Johor,” katanya kepada Sinar Online.

Berita mengenai wujudnya gerakan menjatuhkan Mohamed Khaled menjadi tumpuan selepas dakwaan dibuat anak Speaker Dun Johor, Syukur Mohamad melalui sebuah portal sebelum ini.

Mengulas lanjut, Dr Kassim berkata, Mohamed Khaled fokus kepada posisinya sebagai menteri besar dengan niat untuk menarik balik sokongan rakyat kepada kerajaan selepas PRU13 apabila sokongan kepada kerajaan semakin merosot.

“Kalau kita lihat selepas beliau mengambil alih kerajaan pada 2013, beliau mengutamakan pelan suara hati rakyat demi pembangunan bangsa Johor. Sebelum ini, beliau ada menyebut tentang usahanya untuk menggerakkan Umno dan BN di Johor bagi mengukuhkan kerajaan.

“Jadi, dengan memperkasa parti, pada masa sama melancarkan pelbagai projek pembangunan, pelbagai inisiatif dan pelbagai kerjasama dengan universiti-universiti, itu telah menonjolkan keterampilannya sebagai pemimpin berwibawa di Johor.

“Pada hemat saya, sesuatu yang merugikan kepada parti dan kerajaan jika sekiranya berlaku proses perubahan seperti mana berlaku di Kedah sebab melalui ‘track record’ Datuk Khaled sebagai menteri besar memang mantap dan kukuh,” katanya.

Namun tidak dinafikan katanya, Mohamed Khaled kelihatan berseorangan dalam konteks memimpin negeri itu.

“Dulu kita (Johor) ada menteri-menteri yang handal di Pusat, jadi, sekarang ini diharapkan pemimpin-pemimpin Johor yang bertugas di Persekutuan sebagai menteri atau timbalan menteri sama-sama membantu Datuk Khaled dalam membangun Johor.

“Ini bagi memantapkan parti dan kerajaan di Johor. Apa yang paling saya bimbang ialah, jika Johor rapuh memang ia akan memberi kesan besar kepada pentadbiran Persekutuan,” katanya.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");