Panasnya Hari Ini

Jangan Beri Kenyataan Provokatif Terhadap Ceramah Zakir Naik – Khalid

KUALA LUMPUR : Semua pihak diberi amaran agar tidak mengeluarkan sebarang kenyataan berbentuk provokatif berhubung kehadiran pendakwah terkenal dunia, Dr Zakir Naik, tegas Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Kata Khalid lagi, pihaknya tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap pihak-pihak yang mengeluarkan kenyataan dan hujah-hujah yang boleh mengancam keharmonian negara.

Dalam masa yang sama, Khalid turut mengulangi bahawa keputusan beliau yang mengarahkan forum bertajuk ‘Persamaan antara Islam dan Hindu’ yang dijadualkan pada 17 April ini di Melaka adalah muktamad.

“Isu ini telah menimbulkan banyak perbahasan dan saya sedari bahawa beberapa kenyataan sama ada di media sosial atau akhbar adalah berbaur hasutan dan provokasi.

“Kita tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap mereka yang melampaui batas,”ujarnya, lapor Malaysiakini.

Jelasnya lagi, walaupun Islam adalah agama Persekutuan, kontrak sosial perlu dihormati dan sentimen penganut agama lain juga perlu dipelihara.

Berikutan itu, beliau mengingatkan agar tiada mana-mana pihak yang melontarkan penghinaan yang merendahkan martabat bangsa lain mengenai isu ini.

“Seperti yang dinyatakan dalam Twitter yang saya hantar lebih awal. Keputusan saya adalah muktamad. Forum itu mesti dibatalkan,”tegasnya.

Terdahulu, Khalid, menerusi Twitternya, telah mengarahkan agar penganjur program Zakir Naik di Melaka dibatalkan.

“Pada pandangan kami, apabila pendakwah membincangkan topik berhubung persamaan antara agama Hindu dan Islam, perbincangan itu tidak boleh lari daripada menyentuh kelemahan agama lain,”ujarnya.

Kehadiran Zakir Naik ke negara ini menimbulkan kontroversi apabila salah satu program beliau di Melaka mengundang rasa tidak puas hati beberapa pihak termasuk pemimpin politik dan badan bukan kerajaan (NGO) yang khuatir dengan pengaruh pendakwah itu terhadap penganut agama lain di Malaysia.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");