Panasnya Hari Ini

Keselesaan Anak-anak Orang Asli Diutamakan -Najib

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyatakan bahawa beliau akan memastikan usaha transformasi untuk memberi keselesaan kepada anak-anak orang asli di Asrama Darul Falah (ASDAF) di Bukit Persekutuan diutamakan.

Beliau berkata, ia seiring dalam merealisasikan agenda pembangunan yang inklusif dan setara untuk semua.

Jelasnya, ketika lawatan kali pertama beliau ke asrama berkenaan mendapati keadaan pusat itu kurang memuaskan dan tidak selesa untuk didiami oleh 42 anak-anak orang asli tersebut.

Namun begitu, tambahnya lagi, hasil kerja penambahbaikan yang dilakukan dengan kerjasama beberapa pihak telah menjadikan ASDAF sebuah kediaman yang jauh lebih bersih, selesa dan kondusif.

“Saya lihat bahawa penambahbaikan yang dilaksanakan oleh sukarelawan iM4U dan 300 pelajar Giat MARA dengan kerjasama Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) telah berjalan dengan lancar.

“Dalam tempoh sebulan, ASDAF telah menjadi sebuah kediaman yang jauh lebih bersih, selesa dan kondusif berbanding lawatan pertama dahulu. Apa yang penting bagi saya adalah keselesaan anak-anak ini,” katanya menerusi catatan terbaharu di laman blog miliknya, NajibRazak.com.

Tegas, kegembiraan jelas terpancar di wajah anak-anak ini terutamanya apabila mendapat tempat tinggal dengan katil, tilam dan peralatan serba baru.

Beliau turut mengucapkan syabas kepada sukarelawan iM4U, Giat MARA, ICU serta Courts Malaysia yang menyumbang tenaga dan peralatan baru kepada mereka untuk mengubah wajah pusat tersebut.

Selain itu, beliau turut difahamkan bahawa sukarelawan iM4U akan terus mengadakan kelas tambahan kepada anak-anak yang akan menduduki peperiksaan PT3 dan SPM pada tahun ini.

Dalam pada itu, beliau turut menyatakan bahawa beliau berpeluang untuk berbual dengan Adam, yang berusia tujuh tahun dan Putra berusia 13 tahun.

“Kedua-dua mereka berjanji dengan saya untuk belajar bersungguh-sungguh dan mencapai cita-cita menjadi anggota polis,” katanya lagi.

Gambar:- Sumber blog NajibRazak.com

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");