Membawang Hari Ini

Nora atur karier, bisnes seiring

KELIBAT figura kecil molek ini tidak perlu diperkenalkan lagi. Sejak mula menyertai industri pada 2005, lakonannya semakin hari semakin mendapat tempat tersendiri di hati peminat.

Bahkan dia juga antara selebriti yang disenangi media kerana keramahan dan kelembutannya.

Biarpun kariernya bole dianggap kukuh di dalam industri seni, namun ia bukan alasan buat Nora Danish Mohd Hanif tidak memikirkan masa depannya.

Justeru demi memastikan kehidupannya pada masa hadapan terjamin, Nora kini semakin aktif di dalam bidang perniagaan dan dalam masa sama sibuk dengan kerjayanya sebagai pelakon.

“Walaupun perniagaan memerlukan komitmen yang besar, namun saya tetap tidak meletakkan karier seni ke tepi.

“Bagi saya, biarlah kedua-duanya bergerak seiring. Lagipun saya memerlukan kerjaya saya sebagai pelakon untuk mempromosikan perniagaan saya kepada umum,” ujarnya kepada Zass ketika ditemui pada majlis pelancaran Oppo F1 Plus.

Nora berkata, dia dilantik sebagai duta Oppo F Series selama setahun sejak pertengahan tahun lalu.

Nora berkata, dia bertuah kerana mempunyai stokis yang membantu mengembangkan lagi kerjayanya dan dalam masa sama perniagaannya itu berasaskan atas talian.

“Bila berniaga secara online, saya tak risau untuk bergerak ke sana ke mari. Malah stokis juga membantu dalam mengembangkan lagi produk saya,” jelasnya.

Tambahnya, dia kini sibuk menguruskan perniagaan pakaian dan selendang di bawah jenamanya sendiri Owl By ND.

Kata ibu kepada seorang cahaya mata ini, dia akan melancarkan koleksi lebaran tidak lama lagi.

“Saya baharu sahaja pulang dari Iceland baru-baru ini untuk menjalani sesi fotografi bagi koleksi Lebaran.

“Tidak dinafikan saya memilih lokasi berkenaan kerana pengaruh filem Dilwale. Sebaik tiba di sana, saya tak dapat menyangkal lagi, lokasi itu sangat cantik.

“Bagaimanapun tidak semua koleksi yang di bawa dapat digayakan kerana cuaca sangat sejuk.

“Untuk koleksi Lebaran, kami mengetengahkan printed shawl bersama beg tangan sedondon,” ujarnya.

Tidak hanya sibuk dengan perniagaan pakaian, Nora juga kini mengeluarkan kopi berasaskan herba di bawah jenama Danish & Co.Ffee.

“Ini adalah produk terbaharu saya dan sudah berada di pasaran. Tidak dinafikan selepas pakaian, kopi, saya kini dalam perancangan untuk mengeluarkan jenana minyak wangi sendiri.

“Bagaimanapun semua itu masih dalam perancangan dan saya jadikan selebriti lain yang sudah mula mengeluarkan produk seperti ini sebagai sumber inspirasi dan mentor saya,” katanya.

Berkongsi perkembangan seninya pula, Nora berkata, dia akan memasuki set penggambaran telefilem dan sebuah filem tidak lama lagi.

Selain itu, dia juga merancang untuk kembali berlakon dalam drama bersiri selepas raya nanti.

“Bila lihat kawan-kawan berlakon drama bersiri, saya jadi rindu pula. Lagipun peminat saya yang terdiri dari golongan mak cik-mak cik yang duduk di kampung, mereka tak ada masa menonton filem.

“Bila saya dah lama tak berlakon drama, mereka ingat saya dah tak berlakon. Jadi saya rasa ini masa yang baik untuk krmbali berlakon drama,” jelasnya.

Nora yang kini sudah bergerak sendiri selepas tamat kontrak bersama MIG Februari lalu mengakui penat menguruskan kerjaya sendiri.

“Saya tidak ada isu bersama MIG dan sangat terhutang budi terutamanya kepada David Teo. Saya rasa sudah tiba masanya saya bergerak sendiri.

“Saya juga merancang untuk mencari seorang pembantu yang sudi menguruskan kerjaya saya. Memang penat uruskan kerjaya sendiri,” katanya yang mencari pembantu wanita yang lasak.

Kahwin tahun ini?

Sementara itu, pelakon yang terkenal menerusi filem Aku Terima Nikahnya ini tidak menolak kemungkinan bakal mendirikan rumah tangga dengan teman lelakinya, Nedim Nazri pada tahun ini.

Bagaimanapun ujar Nora, dia tidak mahu terburu-buru mendirikan rumah tangga kerana ingin memastikan dirinya sudah betul-betul bersedia memikul tanggungjawab sebagai isteri.

“Sejujurnya kami memang ada merancang dan saya membayangkan ia akan berlaku dalam tahun ini juga.

“Bagaimanapun saya mahu betul-betul bersedia bergelar isteri termasuk menghadapi apa jua cabaran yang datang.

“Kalau boleh saya mahu berkahwin kerana ALLAH dan bukan kerana cinta semata-mata,” jelasnya.

Nora berkata, dia tidak menafikan ada berbincang mengenai hal perkahwinan bersama Nedim dan mereka setuju untuk mengadakan majlis secara sederhana.

“Seperti yang saya katanya sebelum ini, saya tidak akan menyorokkan perkara ini dari media dan kami juga belum merancang bila ia akan berlangsung memandangkan saya hanya mengimpikan majlis akad nikah sahaja nanti,” katanya.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");