Membawang Hari Ini

‘Nyanyi selagi bernafas’

Nyanyian sudah menjadi darah dagingnya sejak tiga dekad lalu. Malah, pada usia 56 tahun, raja pop Datuk Jamal Abdillah masih aktif memenuhi undangan persembahan termasuk acara korporat serta sambutan Minggu Setiausaha saban tahun.

Bagi pemilik nama sebenar Jamal Ubaidillah Ali ini, dia tidak pernah terfikir untuk bersara daripada bidang yang diceburi sejak sekian lama.

“Insya-Allah, selagi bernafas saya akan terus menyanyi. Selain ini punca pendapatan untuk menyara keluarga, saya ingin sama-sama memartabatkan industri seni tanah air.

“Moga saya dikurniakan kesihatan yang baik agar dapat terus aktif menyanyi. Justeru, pada usia sekarang saya menjaga pemakanan selain bersenam di gimnasium untuk mengekalkan stamina apabila beraksi di atas pentas,” katanya.

Selain persembahan, Jamal juga sibuk dengan persiapan Konsert 3 Suara yang akan berlangsung di Istana Budaya pada 22 hingga 25 September depan. Konsert ini anjuran Bin Jamal Event Sdn Bhd.

“Konsert ini cukup bermakna kerana ia persembahan saya tahun ini. Saya akan bergabung dengan penyanyi terkenal tanah air iaitu Zamani Slam dan Ameng Spring.

“Tidak ketinggalan adik saya, Jamilul Hayat turut membuat kemunculan semula di pentas. Apa boleh saya katakan, konsert ini akan menjadi kenangan terindah buat peminat,” katanya.

Sebagai penghibur legenda, Jamal ada strategi tersendiri untuk kekal relevan dalam bidang hiburan termasuk muncul dengan single baru.

“Saya mendapatkan khidmat komposer LY untuk single ini. Ia masih dalam pembikinan. Jika hasilnya memuaskan barulah kami akan lancarkan pada konsert nanti.

“Diharap single ini menepati selera orang ramai,” katanya.

Jamal ditemui di majlis perasmian Dewan Chinta, Ndah Mahligai yang beroperasi di Bangunan UMNO Selangor dan dirasmikan Pengerusi Barisan Nasional Selangor, Ahli Parlimen Tanjung Karang Datuk Seri Noh Omar baru-baru ini. Hadir sama, pengasas Ndah Mahligai Wedding Planner Sdn Bhd, Juraidah Asmoni atau Kak Ndah.

Acara diserikan dengan kehadiran baris artis terkenal seperti Lisdawati, Rohana Jalil, Salwa Abdul Rahman, Ewal AF, Wilma Muhammad, Ziha AF, Faizal AF, Fazren Rafi, Datin Alyah, Farawahida, Aliff Aziz dan ramai lagi.

Rakan kongsi dewan perkahwinan

Bapa kepada Osama Yamani, 14, dan Ahmad Zaki Yamani, 9 ini bijak merencana masa depannya apabila menceburi dunia perniagaan sebagai jaminan masa depannya dan keluarga.

Terbaru, Jamal menjadi rakan kongsi kepada cawangan baru Ndah Mahligai yang dimiliki Ndah Mahligai Wedding Planner Sdn Bhd. Selain di Bangunan UMNO Selangor, Ndah Mahligai turut beroperasi di Sungai Buloh dan Subang Jaya.

“Saya terima tawaran menjadi rakan kongsi Juraidah kerana kami ada minat sama dalam bidang perniagaan. Pada masa sama kami juga pernah bekerjasama sempena sambutan Hari Ibu di Ndah Mahligai sebelum ini.

“Sebenarnya, sudah lama saya ingin menceburi bisnes berkaitan perkahwinan dan baru sekarang kesampaian. Walaupun rakan kongsi, saya tidak ada masalah menyanyi dalam majlis perkahwinan tetapi pelanggan perlu bayar macam biasa,” katanya.

-Harian Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");