Perak Hari Ini

Pelaksanaan AES Adalah Langkah Pencegahan, Bukan Hukuman

IPOH: Pemasangan sebanyak 1,200 lagi Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) yang diumumkan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, pada Sabtu, bukanlah satu tindakan punitif (hukuman), sebaliknya adalah tindakan preventif (pencegahan), kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Sri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Hal ini demikian kerana, katanya, purata jumlah kemalangan di negara ini adalah sekitar 445,000 di mana daripada jumlah itu, kira-kira 6,500 daripadanya berakhir dengan kematian.

“Kita harus melihat AES ini adalah langkah preventif dan kalau kita mahu membudayakan supaya sikap dan kaedah pemanduan di jalan raya sama ada kita berkenderaan ataupun berjalan kaki, maka sikap ini harus diubah jika tidak mahu langkah-langkah punitif ini dilakukan.

“Saya tahu pengumuman itu akan mengundang pelbagai persepsi, tetapi pelaksanaan sistem ini telah lama ditangguhkan, jumlah denda juga telah dikurangkan daripada RM300 kepada RM150 walaupun masih ada yang menanggap ianya membebankan,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Ekspo Outreach Dana Bumiputera@Perak di Stadium Indera Mulia, di sini, hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, isu pemasangan AES tidak perlu dipolitikkan kerana ianya merupakan salah satu usaha kerajaan untuk mengurangkan kadar kemalangan jalan raya.

“Kesemua pihak termasuk NGO perlu menunjukkan pendekatan secara holistik untuk mencapai matlamat bagi mengurangkan kemalangan dapat dibuat dengan beberapa kaedah supaya pendekatan secara menyeluruh dapat dilakukan,”ujarnya.

Ahmad Zahid turut berkata, pemasangan AES akan dibuat oleh anak syarikat Lembaga Tabung Angkatan Tentera dan pemantauan akan dilakukan oleh Bahagian Trafik PDRM di lokasi-lokasi yang telah ditentukan.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");