Berita Hari Ini

Perak transit akan kumpul RM10j sebagai modal kerja

KUALA LUMPUR: Perak Transit Bhd, penyedia terminal pengangkutan berintegrasi dan pengangkutan awam merancang mengumpul sehingga RM10 juta sebagai modal kerja melalui Platform Akaun Pelaburan (IAP).

IAP adalah platform pelbagai bank berpusat yang membolehkan pelabur membiayai perniagaan pilihan mereka secara langsung mengikut pulangan risiko digemari mereka.

Pengarah Urusan Perak Transit, Datuk Seri Cheong Kong Fitt berkata, hasil yang diperoleh daripada eksesais itu akan digunakan untuk membeli lebih banyak tanah, menyediakan bayaran pendahuluan untuk bas baharu, di samping menaik taraf Terminal Aman Jaya.

“Kami juga merancang membuka sebuah terminal bas baharu di Kampar. Kami merancang untuk disenarai di Pasaran ACE di Bursa Malaysia tahun ini, oleh itu kami sedang berusaha untuk mendapatkan modal kerja yang diperlukan,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran penyenaraian Perak Transit di IAP di sini, hari ini.

Majlis itu dirasmikan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Chua Tee Yong.

Penyenaraian Perak Transit di platform produk patuh Syariah itu adalah eksesais mengumpul dana pertama melalui IAP.

Bank Muamalat Malaysia Bhd, sebagai pengurus pelaburan, akan menawarkan kemudahan pembiayaan selama tiga tahun dan ini dijangka menjana pulangan 6.5 peratus setahun kepada pelabur.

Ketua Pegawai Eksekutif Bank Muamalat, Datuk Mohd Redza Shah Abdul Wahid berkata, bank itu juga menaja jamin sepenuhnya kemudahan itu dan akan menanggung apa-apa kekurangan yang tidak dilanggan pelabur.

“RAM Ratings Agency akan menilai dan menawarkan penarafan bebas ke atas syarikat berkenaan,” katanya dengan menambah, atas asas ini, pelabur akan mendapat keyakinan yang lebih dengan jaminan daripada bank dan agensi penarafan itu.

Bank itu telah menetapkan pelaburan minimum pada hanya RM10,000 bagi menggalakkan semua jenis pelabur, terutama peruncit untuk melabur, katanya.

IAP membolehkan pelbagai spektrum perniagaan, termasuk perusahaan kecil dan sederhana, badan korporat dan projek berdaya maju, memperoleh akses kepada pembiayaan untuk merangsang pertumbuhan ekonomi sebenar. – Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");