Sukan Hari Ini

Rossi tiada tandingan

Jerez, Sepanyol: Valentino Rossi mendahului perlumbaan dari awal hingga akhir untuk menjuarai Grand Prix Sepanyol di Jerez menewaskan pencabar kejuaraan dunia Jorge Lorenzo dan Marc Marquez.

Rossi bagaimanapun kekal di tangga ketiga kedudukan MotoGP biarpun meraih kemenangan pertama dalam 10 perlumbaan, namun penunggang Itali itu kini 24 mata menghampiri pendahulu kejuaraan Marquez dan tujuh mata ketinggalan berbanding rakan sepasukan Yamaha Lorenzo.

Kemenangan di Sepanyol sesuatu yang manis buat Rossi selepas dia gagal meraih kejuaraan tahun lalu pada perlumbaan terakhir di Valencia dan mendakwa Marquez sengaja mensabotaj pada beberapa perlumbaan terakhir untuk membantu rakan senegaranya Lorenzo bergelar juara.

“Saya mempunyai kepantasan yang bagus, bermula dengan baik dan kemenangan seperti ini sesuatu yang istimewa,” kata Rossi.

Juara dunia tujuh kali itu kini menang sembilan perlumbaan dalam semua kategori di Jerez, namun ini kemenangan pertamanya sejak 2009.

“Saya fikir ini hujung minggu yang sempurna kerana kami bermula lebih pantas sejak pagi Jumaat,” kata Rossi.

“Kami menangani motosikal dengan baik, ia luar biasa ketika perlumbaan, saya berterima kasih kepada pasukan, terutamanya kru saya.”

Permulaan pantas Rossi memastikan tiada drama pada selekoh pertama sebelum terus memecut di depan untuk menang dengan kelebihan dua saat.

Bagaimanapun Lorenzo berdepan kekecewaan dengan masalah tayar yang menurutnya menjejaskan peluang muncul juara.

“Rossi sedikit pantas berbanding saya pada permulaan perlumbaan tapi pada pertengahannya, saya boleh mengekalkan jarak dan sebaik saya menghampirinya tiba-tiba pada laluan lurus, gear mula berpusing seolah-olah saya menggunakan tayar basah,” katanya.

“Agak menyedihkan kerana pada akhir perlumbaan, kedudukan saya cukup kuat dan mungkin boleh menang perlumbaan dengan margin besar tapi kerana masalah itu saya tidak mampu pergi lebih jauh dan terpaksa memperlahankan motosikal demi menamatkan perlumbaan.”-harian metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");