Jenayah

Samun untuk bayar upah guaman

ISKANDAR PUTERI: Gara-gara ingin menyamun untuk membayar upah guaman, seorang penagih dadah bersama dua rakannya ditahan ketika cuba melarikan diri dalam satu sekatan jalan raya, di sini, Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Superintendan Noor Hashim Mohamed berkata, dalam kejadian jam 2 pagi, semua suspek dalam sebuah kereta cuba melarikan diri dari sekatan jalan raya dengan memasuki Jalan Makmur 57, di sini.

Menurutnya, suspek kemudian terserempak dengan sebuah kereta peronda polis di kawasan berkenaan lalu terus memandu laju untuk melarikan diri.

“Ketiga-tiga suspek menaiki sebuah kereta sewa jenis Produa Myvi yang menggunakan nombor pendaftaran palsu.

“Pihak kami ambil masa 15 minit mengejar suspek sejauh enam kilometer sebelum mereka terlibat kemalangan kerana terlanggar sebuah bas persiaran yang sedang berhenti di bahu jalan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri, di sini, semalam.

Noor Hashim berkata, suspek yang ditahan merupakan warga tempatan iaitu dua lelaki India dan seorang lelaki Melayu masing-masing berusia antara 21 hingga 24 tahun.

“Ketika ditahan, polis turut menjumpai dua parang, topeng, beg hitam dan seikat ‘cable tied’ yang dipercayai akan digunakan untuk kegiatan menyamun di sekitar Johor Bahru.

“Seorang suspek turut mengaku ingin melakukan samun untuk mendapatkan wang bagi membayar upah peguam dan duit tambang kerana terpaksa hadir di mahkamah Kuantan berkaitan kes dadah,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, dua daripada suspek ditahan mempunyai pelbagai rekod lampau seperti samun, pecah rumah dan dadah manakala seorang lagi tidak mempunyai sebarang rekod lampau.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");