Panasnya Hari Ini

Saya Pernah Berlawan Untuk Orang Islam – Ramasamy

Foto:-Free Malaysia Today

KUALA LUMPUR: Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang II, P Ramasamy yang mencetuskan kontroversi berhubung kehadiran pendakwah terkenal dunia, Dr Zakir Naik mendakwa beliau juga pernah memperjuangkan nasib orang Islam.

Menceritakan pengalaman beliau, Ramasamy berkata dirinya pernah terlibat secara aktif dalam usaha membantu golongan tertindas di wilayah bergolak Aceh pada awal tahun 2000.

Disebabkan penglibatannya itu, Ramasamy berkata kerjaya akademiknya sebagai pendidik di Universiti Kebangsaan Malaysia ditamatkan.

“Pada ketika itu, hanya saya seorang rakyat Malaysia yang terbabit dalam gerakan itu. Orang lain tidak mahu bersama perjuangan rakyat Aceh kerana mereka bimbangkan tindakan balas daripada Indonesia.

“Saya tertarik menyertai gerakan itu kerana saya ada ramai pelajar Aceh. Saya juga seorang penasihat semasa memorandum persefahaman Helsinki, yang menyaksikan perjanjian keamanan dimeterai antara Indonesia dan Gerakan Aceh Merdeka (GAM),”katanya, lapor Free Malaysia Today.

Ramasamy berkata, Aceh diberikan status wilayah istimewa susulan rundingan itu yang memberikan negeri pancacita itu autonomi yang besar daripada Jakarta.

Berikutan itu, Ramasamy menganggap dirinya pejuang keamanan dan telah melawan pelbagai ketidakadilan yang menimpa rakyat Palestin, serta etnik Tamil di Sri Lanka.

“Saya sarjana gerakan keamanan. Bagus kiranya kita melibatkan diri dalam kumpulan-kumpulan ini untuk apa yang diperjuangkan. Saya menyokong perjuangan untuk keadilan,”katanya.

Dalam masa yang sama, Ramasamy berkata negara ini memerlukan lebih ramai cendekiawan Islam seperti Allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat yang berjuang untuk kebenaran.

“Nik Aziz seorang insan yang mengagumkan. Beliau tidak henti-henti melawan salah laku. Kita perlukan lebih ramai orang seperti itu,”ujarnya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");