Sukan Hari Ini

Serba tak kena

Shah Alam: Baru saja memasuki pusingan pertama dan kelayakan (kelmarin), rata-rata pemain termasuk jaguh badminton dunia dari China, Lin Dan menyuarakan rasa tidak puas hati dengan tahap penganjuran Terbuka Malaysia kali ini.

Sebaik tamat aksi pusingan pertama mengalahkan wakil negara, Chong Yee Han, pemain negara Tembok Besar itu segera bertemu media tempatan menyuarakan pandangan mengenai gelanggang pemanas badan yang menurutnya, terlalu kecil (separuh gelanggang).

Lebih buruk pemain perseorangan Scotland Alistair Casey menghubungi Arena Metro melalui laman sosial, Facebook merungut perkara sama termasuk keadaan tiupan angin terlalu kuat dari penghawa dingin Stadium Malawati.

Pemain perseorangan Denmark Hans Kristian Vittinghus juga memuat naik rasa kurang puas hati mengenai keadaan gelanggang tahun ini dan menyedari perkara itu sudah berlaku sejak Kejohanan Pingpong Berpasukan baru-baru ini.

“Keadaan gelanggang (pemanas badan) yang disediakan tidak sama seperti gelanggang sebenar, jadi pemain sukar untuk sesuaikan diri ketika beraksi selain ditambah keadaan angin yang agak kuat.

“Saya tidak pernah jumpa kemudahan seperti ini, seperti tidak mencapai standard pertandingan. Kali terakhir saya beraksi di sini pada 2000, jadi agak susah juga untuk kembali menyesuaikan diri,” kata Lin Dan.

Sementara itu, Pengurus Besar Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Lawrence Chew yang juga ahli jawatankuasa penganjur berkata, penyediaan gelanggang pemanas badan bukan satu peraturan wajib daripada Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

“Sebenarnya kita boleh saja tidak menyediakan langsung gelanggang pemanas badan namun lebih baik setengah gelanggang daripada tidak ada langsung. Hanya Kejohanan Dunia saja yang diwajibkan perlu mempunyai gelanggang berkenaan.

“Sekarang saya rasa sudah lewat untuk melakukan perubahan, lebih baik fikir mengenai gelanggang pertandingan. Pemain juga perlu faham memanaskan badan tidak bererti perlu bermain atau berlatih dalam gelanggang penuh,” katanya ketika ditemui semalam.

Ujarnya, jika beliau menyediakan gelanggang pemanas badan di luar iaitu di kawasan letak kereta, ia mungkin membahayakan pemain kerana boleh menyebabkan kemalangan.

-Harian Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");