Panasnya Hari Ini

PM Perlu Pikul Tanggungjawab Sebagai Menteri- Tony Pua

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua, menggesa agar Perdana Menteri perlu memikul tanggungjawab sebagai Menteri Kewangan atas kelemahan tadbir urus yang berlaku di dalam 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Ujarnya tindakan itu perlu sekalipun hasil siasatan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mendapati Datuk Seri Najib Razak tidak terbabit dalam sebarang salah laku.

Beliau menyatakan sedemikian berikutan susulan Laporan Kawalan Pengurusan Tadbir Urus 1MDB yang mendapati prestasi kewangan syarikat pelaburan strategik milik Kementerian Kewangan itu ‘kurang memuaskan’ yang menjurus kepada kelemahan tadbir urus.

“Sekurang-kurangnya beliau perlu memikul tanggungjawab menteri. Perkara lain kami tidak tahu, kerana kami tidak mempunyai penyata akaun bank di luar negara,” katanya memetik sumber Freemalaysiatoday.

Tambahnya lagi, berdasarkan laporan PAC, 1MDB dakwanya sengaja melengah-lengahkan siasatan Ketua Audit Negara dan PAC dengan tidak mendedahkan perkara sebenar sepenuhnya.

Beliau turut mendakwa 1MDB bertindak menyembunyikan maklumat penting dan enggan memberikan penyata akaun bank di luar negara bagi membolehkan pengauditan ke atas “jejak wang berbilion ringgit”.

“Walaupun terdapat beberapa kelemahan dalam laporan itu – kegagalan mendapatkan maklumat penting terhadap transaksi perbankan asing dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif, Mohd Hazem Abd Rahman, pegawai-pegawai Bank Negara, firma audit Ernst & Young serta beberapa individu kontroversi, seperti Low Taek Jho – bukti yang didedahkan dalam dokumen-dokumen sedia ada amatlah menjahanamkan 1MDB.

“Ia termasuk perjanjian usaha sama pertama dengan Petrosaudi International Limited, di mana 1MDB sepatutnya melabur USD1 bilion untuk 40 peratus saham, tetapi USD700 juta telah disalahgunakan untuk Good Star Limited,” katanya.

Tony turut menegaskan bahawa Ketua Audit Negara telah menemui bukti bahawa transaksi berlaku tanpa pengetahuan dan kelulusan Lembaga Pengarah 1MDB.

Jelasnya lagi,menerusi satu temu bual bersama bekas Pengerusi 1MDB, Tan Sri Mohd Bakke Salleh memberitahu tindakan beliau meletak jawatan “kerana malu, selepas mendapat tahu tentang transaksi berbahaya itu” dan mendakwa Bakke enggan membiarkan tindakan itu begitu sahaja.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");