Membawang Hari Ini

Showdown The Movie bak pertarungan sebenar

BEBERAPA tahun lalu, program Showdown yang ditayangkan di 8TV menjadi antara program popular dan pernah dinobatkan

Rancangan Realiti TV Terbaik di Anugerah Skrin 2010.

Diinspirasikan dari program berkenaan, Grand Brilliance dan Lightbulb Pictures, mempersembahkan Showdown:The Movie.

Filem aksi tarian jalanan ini diarahkan Khairil M. Bahar dan dibarisi pelakon utama terdiri daripada Reza Hazbi, Nur Jehan Shukri, Aiman Asmawar, Azim Aris (dari Krew Wakaka), Amirul Hadi (dari krew Bounce Stepperz) dan Ben Laden yang bergabung di bawah Battle Crew.

Selain itu, filem ini turut dibintangi Iedil Putra, Izara Aishah, Azad Jazmin, Ammar Alfian, Maria Farida, Esma Daniel dan ramai lagi.

Showdown:The Movie mengisahkan kumpulan tarian Battle Crew yang bercita-cita untuk menjadi juara dalam sebuah pertandingan tarian terbesar di Malaysia iaitu Showdown.

Pelbagai rintangan terpaksa Battle Crew tempuhi demi merealisasikan impian mereka.

Secara keseluruhannya, penulis yang berpeluang menonton filem berkenaan baru-baru ini menyifatkan Showdown : The Movie adalah sebuah filem yang lain daripada lain.

Walaupun genre dan kisah mengenai penari jalanan ini sudah biasa diketengahkan dalam filem antarabangsa, namun di arena perfileman tempatan, ia adalah sebuah karya baharu dan segar.

Penulis skrip filem ini, Mohd Zulfikli Abd Jalil, mengambil langkah bijak untuk tidak memasukkan terlalu banyak drama dan konflik, terutamanya babak percintaan.

Tetapi perjalanan filem ini bergerak sesuai dengan tempoh durasi masa dan tidak terlalu meleret.

Bahkan konflik dan drama yang ada boleh diterima dan tidak terlalu membosankan.

Biarpun ada beberapa babak boleh dijangka kesudahan dan penceritaannya, namun ia tidaklah sehingga merosakkan perjalanan cerita atau pun mood penonton.

Bukan itu sahaja, lakonan mantap pelakon juga banyak membantu mencantikkan lagi perjalanan filem ini.

Pujian harus diberikan kepada mereka yang menjadi tunjang utama dalam Battle Crew kerana hanya Reza Hasbi dikenali sebagai pelakon.

Namun yang lain adalah penari daripada beberapa kumpulan yang pernah menyertai Showdown dan dicungkil bakat lakonan untuk filem ini.

Manakala lakonan Reza pula pada pandangan penulis, cukup baik dan menyerlah.

Tidak mustahil, filem ini bakal membantu menaikkan lagi namanya dalam industri lakonan selepas ini.

Pujian buat Khai Bahar

Seperkara lagi yang menarik perhatian penulis mengenai filem ini adalah gerak kerja kamera yang cukup kemas.

Bahkan Khai juga menampilkan suntingan yang lain daripada lain. Ibaratnya berbaloi menunggu filem yang mula menjalani penggambaran pada 2013 ini.

Pendek kata, tatkala menonton filem ini, anda seolah-olah sedang menyaksikan pertarungan sebenar ke semua peserta yang terlibat dalam Showdown.

Bahkan ada ketikanya penulis sendiri seperti hendak merasa bertepuk tangan melihat aksi tarian yang dipamerkan mereka.

Dan pujian juga harus diberikan kepada pereka tari, Pat Ibrahim dan pereka tari lain yang terlibat memerah idea untuk menampilkan aksi tarian yang cukup wow.

Justeru, bagi anda yang meminati street dance dan mungkin bekas pengikut program Showdown, anda harus menonton filem ini di pawagam.

Showdown: The Movie
PENGARAH: Khairil M. Bahar
PELAKON: Izara Aishah, Azad Jazmin, Iedil Putra, BenLaden, Reza Hasbi, Jehan Shukri, Esma Danial & Maria Farida.
GENRE: Tarian
DURASI: 1jam 37minit
KLASIFIKASI: P13
TAYANGAN: 7 April
KESELURUHAN: **** (3.5 bintang)

-Sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");