Berita Hari Ini

Pandang serius kelemahan pengurusan 1MDB

SHAH ALAM – Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) berharap pihak berkuasa memandang serius syor supaya pihak pengurusan 1 Malaysian Development Berhad (1MDB), termasuk mantan Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, disiasat atas kelemahan pengurusan syarikat itu.

Ahlinya, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, siasatan kami mendapati wujudnya unsur kecuaian dan unsur tabir urus yang tidak baik dalam syarikat pelaburan strategik, 1MDB itu.

“Oleh itu, kami (PAC) syorkan siasatan lanjut oleh pihak berkuasa, sama ada oleh Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM), Bank Negara, polis atau pihak berkaitan untuk bertindak.

“Kami tidak boleh membuat siasatan sehingga ke peringkat pendakwaan kerana PAC hanya boleh meneliti kes ini sama ada wujud unsur kecuaian dan salah urus tadbir. Sama ada ianya tergolong dalam kes jenayah, ia perlu disiasat terhadap pengurusan 1MDB,” katanya, semalam.

Wakil Pas dalam PAC itu berkata, beliau secara keseluruhan berpuas hati dengan laporan yang dikemukakan kelmarin.

“Laporan PAC mengenai 1MDB ini sudah sempurna, tiada lagi yang hendak di bentang. Secara keseluruhan saya berpuas hati dengan laporan ini,” katanya.

Menurut Takiyuddin, yang juga Setiausaha Agung Pas, ahli parlimen boleh membangkitkan laporan ini pada sesi Dewan Rakyat bulan depan.

“Saya difahamkan mengikut Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia, ahli parlimen boleh mengutarakan isu berbangkit mengenai laporan ini pada sidang Mei.

“Ahli parlimen mempunyai masa yang cukup untuk membaca dan mengkaji laporan itu sebelum mengusulkannya pada sidang akan datang,” katanya.

Dewan Rakyat dijadual bersidang pada 16 Mei.

Sementara itu, menurut ahli jawatankuasa PAC, Dr Tan Seng Giaw, adalah perlu untuk menyiasat pihak pengurusan seperti disyorkan oleh PAC.

“PAC berpendapat ada kekangan dan kelemahan tertentu oleh pihak pengurusan dan Lembaga Pengarah 1MDB.

“Adalah perlu untuk menyiasat mereka supaya kita tahu keadaan mereka yang sebenar,” katanya.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");