Perak Hari Ini

Sistem My-Solve Mudahkan Urusan Perceraian

IPOH: Sistem My-Solve yang dilancarkan pada hari ini mampu memudahkan urusan pasangan beragama Islam yang mengambil keputusan untuk bercerai.

Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Perak, Asa’ari Mohd Yazid berkata, pihaknya telah melakukan tempoh percubaan pada Januari lalu dan ianya telah dilancarkan secara rasmi pada hari ini.

“Dalam tempoh percubaan itu, sebanyak 34 pasangan yang sudah menggunakan sistem ini. Kita membantu dalam bentuk pendaftaran secara atas talian.

“Apabila pasangan mengambil keputusan untuk bercerai, mereka perlu hadir ke mahkamah untuk urusan seterusnya sekiranya semua dokumen yang diperlukan lengkap,” katanya ketika ditemui media selepas majlis pelancaran tersebut di sini, hari ini.

Majlis pelancaran Sistem My-Solve dan E-Nilai tersebut telah dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam, Pendidikan Islam dan Pembangunan Sahsiah, Datuk Drs Mohd Nizar Zakaria di Dewan Bankuet Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Perak.

PERAKTODAY5

Turut hadir ialah ialah Ketua Pegawai Eksekutif K-Perak Inc Corporation, Mohd Nazaruddin Mohd Yusof.

Ujarnya lagi, penggunaan sistem secara manual yang digunakan sebelum ini memerlukan pasangan hadir ke mahkamah beberapa kali sebelum kes perceraian disebut di mahkamah.

“Tetapi menerusi sistem ini, kes-kes permohonan perceraian boleh diselesaikan dalam tempoh satu hari dan ianya ternyata menjimatkan masa semua pihak.

“Ada kes yang menggunakan sistem ini dapat diselesaikan dalam tempoh satu jam lebih sahaja,”ujarnya.

Namun begitu, Asa’ari menegaskan bahawa pihaknya tidak menggalakkan perceraian kerana pasangan akan tetap bercerai walaupun menggunakan sistem yang biasa.

Sebaliknya, beliau berkata, pihaknya cuma memudahkan pasangan yang telah mengambil keputusan untuk bercerai dengan melayari http://mysolve.perak.gov.my.

Sementara itu, Nazaruddin berkata, pembangunan sistem di agensi-agensi kerajaan merupakan salah satu daripada Petunjuk Prestasi Pertama (KPI) K-Perak untuk mentransformasikan Jabatan Agama Islam menerusi teknologi.

PERAKTODAY2

“Selama ini, ada yang menanggap bahawa Mahkamah Syariah ini sebagai kelas kedua, jadi kita nak pastikan Mahkamah Syariah dan mana-mana agensi agama Islam dapat berdiri sama tinggi dalam teknologi untuk bersaing dengan mana-mana agensi lain.

“K-Perak menggunakan kepakaran dalaman untuk membangunkan sistem-sistem ini, manakala dari segi kandungan pula, ianya disediakan oleh pihak mahkamah sendiri. Kita cuma menyediakan platform dan transformasikan ke dalam sistem,”ujarnya.

Dalam pada itu, Mohd Nizar berkata, urus tadbir sesuatu kes penceraian dapat dipermudahkan melalui sistem My-Solve apabila ianya dapat diselesaikan dalam tempoh satu hari.

“Manakala bagi sistem E-Nilai pula, sistem ini membolehkan kakitangan-kakitangan mahkamah syariah menilai diri mereka berteraskan amanah, jujur, ikhlas mengikut etika-etika sedia ada.

“Rakan-rakan sejawat mereka juga ada kebersamaan untuk menilai rakan-rakan mereka dan pihak atasan juga boleh membuat penilaian terhadap kakitangan mereka,”ujarnya.

Terdahulu, Mohd Nizar turut menyampaikan anugerah perkhidmatan cemerlang Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Perak dan juga sijil penghargaan kepada kakitangan.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");