Jenayah

Tak sempat ambil hasil samun

SERI ISKANDAR: Sekumpulan penyamun hanya mampu berputih mata kerana tidak sempat mengambil hasil samun apabila kegiatan mereka disedari pengurus kilang.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 malam kelmarin itu, dipercayai lebih daripada seorang penyamun cuba mencuri minyak sawit mentah dari sebuah kilang di Gelung Pepuyu, di sini.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Aziz Hasan berkata, kejadian itu disedari oleh pengurus kilang berusia 47 tahun.

Menurutnya, pengurus kilang itu menerima panggilan daripada rakannya mengatakan ada pihak cuba mencuri minyak sawit mentah di kilang itu.

“Pengurus itu segera ke kilang bersama rakan dan pekerjanya untuk membuat pemeriksaan sebelum menghubungi polis.

“Apabila polis tiba di tempat kejadian, didapati penjenayah sudah melarikan diri dan meninggalkan kenderaan mereka,” katanya.

Aziz berkata, hasil pemeriksaan mendapati terdapat dua motosikal, sebuah pam penyedut yang bersambung dengan paip lebih kurang 400 meter untuk menyedut minyak sawit mentah dari tangki kilang.

“Polis juga turut menemui enam tong iaitu empat tong berisi minyak sawit mentah manakala dua lagi kosong.

“Penjenayah juga turut meninggalkan sebuah lori dipercayai digunakan untuk membawa tong-tong berisi minyak mentah itu,” katanya.

Katanya, pihaknya percaya suspek terlibat dalam kejadian itu mempunyai rakan yang bekerja di kilang berkenaan.

“Rakan yang bekerja di kilang itu dipercayai melepaskan minyak mentah yang banyak ke dalam kolam sisa buangan untuk disedut oleh suspek kerana minyak itu masih lagi ada harga,” katanya

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");