Sukan Hari Ini

Tiga elemen lahir pelari pecut

Kuala Lumpur: Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) menggariskan tiga langkah penting untuk mengembalikan kegemilangan sukan olahraga terutama dalam acara pecut iaitu mencari pengarah teknikal yang boleh melatih atlet, menggesa sokongan padu keluarga atlet dan merayu mewujudkan kembali Kejohanan Antara Bank.

Menurut Presidennya Datuk Karim Ibrahim, KOM perlu mempunyai seorang pengarah teknikal yang bukan saja melakukan program atau aktiviti pengurusan tetapi mampu melatih atlet, tidak kisah sama ada acara pecut, lompatan atau balingan.

“Pengarah teknikal yang kami lantik sebelum ini lebih kepada acara tenis, jadi beliau tidak sesuai untuk memberi tunjuk ajar kepada atlet,” katanya semalam.

Jelasnya, pengarah teknikal yang mempunyai dua peranan bukan saja membantu pasukan tetapi membina pasukan, tidak kira sama ada mempunyai kepakaran dalam acara pecutan atau tidak.

“Selepas mempunyai pengarah teknikal kami harus mengorak langkah untuk menghantar atlet berlatih dan berkumpul di luar negara, terutama dalam acara tertentu seperti lompat kijang melalui Hakimi Ismail.

“Bukan saja atlet tapi jurulatih juga perlu dihantar menimba ilmu di luar tetapi hanya membabitkan jurulatih tempatan saja, supaya beliau boleh membawa pulang ilmu kembali ke Malaysia,” katanya.

Ditanya apakah punca atlet negara terutama dalam acara pecut mampu cemerlang di peringkat remaja tetapi gagal meneruskan kesinambungan selepas menjengah usia dewasa, Karim berkata, perkara itu disebabkan sokongan ibu bapa dan keluarga.

“Peranan ibu bapa sangat penting, mereka tidak boleh meninggalkan anak mereka atau menghilangkan diri, jika tidak banyak perkara lain akan mengganggu anak mereka dalam usaha untuk menjadi seorang atlet yang baik.

“Mereka perlu sentiasa memberi sokongan atau menyaksikan anak mereka mengambil bahagian. Dalam masa sama jangan anggap sukan olahraga tidak mempunyai masa depan cerah berbanding sukan lain. Kita dapat tengok sendiri bagaimana pelari pecut, Usain Bolt mampu menjadi seorang jutawan, malah pelari negara, Badrul Hisyam Manap juga sudah mula mendapat tajaan dari syarikat sukan,” katanya.

Karim juga bersetuju Kejohanan Antara Bank diwujudkan semula dan beliau merayu kepada institusi perbankan supaya melakukan sesuatu bagi mewujudkan semula kejohanan itu.-harian metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");