Membawang Hari Ini

Trent juara terakhir

Program realiti American Idol (AI) akhirnya melabuhkan tirai dengan menobatkan juara terakhirnya, Trent Harmon, 25, minggu lalu bertempat di Dolby Theatre, California, Los Angeles.

Trent menewaskan saingannya La’Porsha Renae, 23, yang diramal bakal menjuarai musim terakhir AI. Persembahanan mingguan La’Porsha tidak pernah mengecewakan, malah vokalnya yang hebat sering mendapat pujian barisan juri.

Tatkala nama Trent diumumkan sebagai juara, juri Harry Connick Jr kelihatan terkejut dengan keputusan itu.

Acara final musim akhir AI itu diserikan dengan kehadiran ramai bekas pesertanya iaitu Carrie Underwood, Jennifer Hudson, Chris Daughtry selain Fantasia Barrino, Scott McCreery, David Archuleta dan Elliot Yamin.

Selain itu turut kelihatan Diana DeGarmo, Katharine McPhee, Ruben Studdard, Justin Guarini, Clay Aiken dan ramai lagi.

Penonton turut dikejutkan dengan kemunculan juri popular program itu iaitu Simon Cowell, Paula Abdul, dan Randy Jackson yang memberikan ucapan pendek di atas pentas. Mereka tampak sebak apabila program itu melabuhkan tirainya.

Ketiga-tiga juri itu juga sempat memberikan ‘tribute’ khas buat pengacara AI, Ryan Seacrest.

Bagaikan upacara pengebumian, begitulah suasana auditorium itu. Ditambah lagi dengan persembahan bekas peserta, AI meninggalkan nostalgia buat pengikut setia program itu.

Bukan saja persembahan secara langsung, rakaman persembahan juara sulung AI iaitu Kelly Clarkson menyanyikan lagu hitnya turut mengisi pentas final itu. Penyanyi Piece By Piece itu tidak dapat hadir kerana menunggu untuk bersalin.

Selain Kelly, juara musim keempat iaitu Carrie Underwood tidak ketinggalan menggamatkan pentas apabila bergandingan dengan Keith Urban. Penyanyi country itu turut memperdengarkan single terbarunya, Something In The Water.

Jennifer Lopez tidak ketinggalan mengalunkan lagu terbarunya, Ain’t Your Mama. Begitu juga Harry Connick Jr yang menyampaikan lagu What A Wonderful World sambil diiringi sedutan video projek Idol Gives Back.

Lebih istimewa, acara malam itu turut dibuka dengan video ucapan ringkas Presiden Amerika, Barack Obama.

“Bukan semua kita boleh menyanyi seperti Kelly Clarkson, tetapi setiap suara kita sangat berharga,” katanya dengan niat menggalakkan penonton untuk mendaftar sebagai pengundi.

Bekas hos AI iaitu Brian Dunkleman yang meninggalkan program itu pada musim pertama turut hadir memeriahkan suasana.

Ada program kesinambungan?

Ramai tertanya-tanya apa yang dimaksudkan Ryan ketika melafazkan ucapan selamat tinggal ketika menutup program itu. Ia seolah-olah menggambarkan ada sesuatu yang isitimewa bakal menyusul selepas ini.

AI terpaksa ditamatkan berikutan kos penerbitannya yang sangat tinggi tidak mampu ditampung apabila rating merudum.

Bagaimanapun menerusi satu kenyataan yang diberikan pencipta program itu, Simon Fuller kemungkinan besar kesinambungan program itu sedang dirancang.

Bahkan, menurut sumber dari The Hollywood Reporter, Simon ada membayangkan sebuah program lebih interaktif.

-harian metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");