Membawang Hari Ini

Usia bukan penghalang Helen Mirren terus positif

USIANYA sudah melebihi separuh abad, namun bakat lakonan artis veteran, Helen Mirren tetap hebat!

Menginjak usia 70 tahun, anak kelahiran Hammersmith, London, England ini bukan sahaja masih lagi aktif ‘beraksi’ di persada seni Hollywood bahkan tetap kelihatan cantik dan menawan.

Masakan tidak, menjadi golongan yang sentiasa menjadi perhatian khalayak, seseorang selebriti pastinya tidak dapat lari untuk sentiasa tampil cantik dan jelita.

Mengakui tidak gentar dengan pertambahan usianya, Mirren sebaliknya punya pendapat tersendiri mengenai makna kecantikan.

“Saya tidak suka dengan perkataan ‘kecantikan’.

“Dalam dunia ini sememangnya ada individu yang sempurna secara fizikal, namun ada juga yang menjadi cantik kerana dalamannya seperti keperibadian, semangat dan tahap kecerdasan,” katanya kepada Daily Mail.

Pada masa sama, Mirren tidak risau akan garis ‘kerepot’ yang dimilikinya kerana sepanjang hidupnya telah dihabiskan dalam dunia hiburan seperti di panggung teater, televisyen (TV) dan layar lebar.

“Kecantikan bukanlah hal utama, namun prestasi dan nilai positif yang ada dalam diri seseorang jauh lebih berharga daripada segalanya,” katanya yang turut menolak untuk menjalani pembedahan kosmetik.

Meskipun berusia ‘senja’, pemilik nama sebenar Helen Lydia Mironoff ini telah dipilih jenama terkemuka, L’Oréal sebagai jurucakap kepada rangkaian penjagaan kulit anti-penuaan, Age Perfect.

“Saya sentiasa menggemari jenama Paris dan saya rasa teruja dan berbangga terpilih menjadi jurucakap serta menyertai kumpulan yang berjaya ini.

“Adalah menjadi harapan saya agar dapat memberi inspirasi kepada wanita di luar sana supaya lebih berkeyakinan dengan wajah dan penampilan semula jadi.

“Kita semua sangat berharga!,” ujar Mirren dalam satu kenyataan.

Difahamkan, Mirren menduduki tempat teratas sebagai wanita yang mempunyai penampilan menarik kepada pelanggan.

Malah ramai yang berulang kali menyatakan Mirren kelihatan asli, bijak dan glamor serta masih kelihatan cantik walaupun usia sudah meningkat.

Sebelum ini, aktres berusia 53 tahun, Tilda Swinton telah diumumkan sebagai jurucakap jenama Nars serta barisan model berusia 40 tahun ke atas seperti Linda Evangelista, Christy Turlington dan Stephanie Seymour masih lagi mendapat perhatian dalam kempen kecantikan.

Pelakon berbakat

Mengimbas kembali, Mirren memulakan langkahnya sebagai pelakon ketika berusia 18 tahun dan pernah bekerjasama dengan kumpulan teater terkenal, Royal Shakespeare Company.

Ketika itu, isteri kepada pengarah, Taylor Hackford ini kerap terlibat mementaskan teater legenda seperti Anthony and Cleopatra (1965), Richard III (1970) dan Henry VI, Parts I, II and III (1977-1978).

Tidak hanya aktif berteater, Mirren turut menguji kemampuannya berlakon terutamanya di layar lebar.

Bahkan, Mirren turut mencipta kejayaan tersendiri sepanjang terlibat dalam persada seni Hollywood sepanjang 50 tahun lalu.

Antara filem lakonannya adalah A Midsummer Night’s Dream (1968), Hamlet (1976), Caligula (1979), Excalibur (1981), The Madness of King George(1994), Critical Care (1997), Last Orders (2001), Calendar Girls (2003), Raising Helen (2004), The Queen (2006), National Treasure: Book of Secrets (2007), Inkheart (2008), State of Play (2009), The Last Station (2009), Love Ranch (2010), The Debt (2011), Red (2011), Hitchcock (2012), Red 2 (2013), The Hundred-Foot Journey (2014) dan Woman in Gold (2015).

Sepanjang penglibatannya dalam persada seni Hollywood, Mirren berjaya meraih pelbagai penghargaan termasuklah Anugerah Akademi 2006 menerusi wataknya Queen Elizabeth II dalam filem The Queen.

Jadi pegawai tentera

Dalam perkembangan lain, Mirren kembali berlakon aksi dalam filem arahan Gavin Hood di samping Aaron Paul, Barkhad Abdi dan mendiang Alan Rickman.

Bagaimanapun, belumpun filem itu ditayangkan di Malaysia, pelakon seusia Mirren, Alan Rickman didapati meninggal dunia disebabkan penyakit barah pada Januari lalu.

Terkesan dengan situasi itu, Mirren mengakui pernah bekerjasama dengan Rickman menerusi pentas teater, Anthony and Cleopatra pada 1998.

“Kami melalui semua kesukaran luar biasa dan merasai keghairahan itu

“Rickman seorang yang sangat baik. Kini, dia sudah tiada dan kami semua sangat sedih,” katanya.

Menerusi filem itu, Mirren diberi tanggungjawab menggalas watak pegawai tentera rahsia yang bernama Kolonel Katherine Powell.

Eye In The Sky sebuah filem bergenre aksi daj perang mengisahkan pegawai tentera yang berpengkalan di London, Kolonel Katherine Powell mengarahkan operasi rahsia dron, yang mana pasukannya perlu menangkap kumpulan pengganas di rumah selamat mereka di Nairobi, Kenya.

Sebagaimana pengganas mahu melakukan serangan berani mati, misi Powell secara tiba-tiba bertukar daripada ‘tangkap’ kepada ‘bunuh’. Tetapi apabila seorang budak berusia sembilan tahun memasuki zon bunuh, ini menimbulkan perbalahan antarabangsa mengenai akibat daripada perang moden.

Apakah yang terjadi? Nantikannya di pawagam menjelang 21 April ini.

EYE IN THE SKY

PENGARAH: Gavin Hood

PELAKON: Aaron Paul, Helen Mirren, Alan Rickman, Barkhad Abdi

GENRE: Drama/Ngeri/Perang

TARIKH TAYANGAN: 21 April

-sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");