Membawang Hari Ini

Warna Cinta Impian punya kekuatan sendiri

WARNA Cinta Impian mengisahkan percintaan dan konflik kehidupan dunia moden antara Daniel, seorang arkitek dan Diana seorang peguam menjadi nadi percintaan.

Mereka cuba untuk menyemai rasa cinta dalam rumah tangga, tetapi keegoan dan kegagalan percintaan silam masing-masing menimbulkan pelbagai konflik dalam kehidupan mereka.

Kemudian, ketegangan pula bermula dengan kemunculan Erra (Erra Fazira) kakak angkat Daniel yang menetap di luar negara menggamit kenangan silam cintanya bersama Awie (Awie) yang kecundang lebih dua dekad lalu.

Secara kebetulan, Awie pula merupakan abang kandung kepada Diana.

Erra dan Awie mengambil keputusan untuk mengetepikan duka lama demi menyelamatkan perkahwinan Daniel dan Diana.

Melihat perjalanan filem ini, tidak dapat dinafikan, ia menyamai filem Dilwale yang memperlihatkan Raj/Kaali dan Meera yang akhirnya mengetepikan ego serta dendam lama demi cinta adik mereka yang jatuh cinta.

Namun, sama ada anda percaya atau tidak, proses pre produksi bermula sejak 2013 dan pembikinan filem Warna Cinta Impian telah dilakukan pada tahun 2014.

Manakala filem Dilwale lakonan Shah Rukh Khan dan Kajol ditayangkan pada 2015.

Justeru, filem ini bukan meniru mahupun klon filem Dilwale dan persamaan itu pada penulis ibarat satu bonus buat produksi filem ini.

Bagaimanapun, filem arahan NS Krishna ini mempunyai kekuatan tersendiri, termasuklah menyaksikan gandingan semula Awie dan Erra Fazira di layar perak.

Awie dan Erra bergandingan bersama pelakon baharu Erwin Dawson dan Shiqin Kamal selaku teraju utama, di samping Azlee Khairi, Nazeera Sardi, Fad Bocey serta penampilan istimewa Datuk David Arumugam.

Secara jujurnya, penulis yang berpeluang menyaksikan filem ini tidak melihat ia sebagai sebuah filem picisan.

Ini kerana, biarpun mempertaruhkan Erra dan Awie untuk menarik penonton ke pawagam, lakonan pelakon baharu Erwin dan Shiqin tidak boleh dipandang enteng.

Kedua-dua mereka memberikan lakonan yang cukup mantap dan bersahaja serta keserasian bak pasangan bercinta.

Bahkan penulis merasa kagum dengan keberkesanan lakonan dua pelakon baharu ini, biarpun mereka digandingkan dengan pelakon lama, namun mereka berjaya bergerak seiring dengan dua figura yang cukup terkenal itu.

Sentuhan Bollywood

Antara lain yang menarik mengenai filem ini adalah pemilihan lokasi penggambaran yang sangat cantik, melibatkan lokasi di Putrajaya, Cyberjaya, Jaipur, India dan Sydney, Australia.

Pendek kata, penulis merasa kagum melihat lokasi yang dipilih pengarah untuk diselitkan di dalam filem ini.

Ia mendorong penonton untuk pergi ke tempat tersebut suatu hari nanti.

Selain itu, Krishna juga turut menyelitkan unsur Bollywood, di mana pelakon; Erwin dan Shiqin menari serta menyanyi di kawasan padang pasir di Jaipur.

Penulis tahu, melihat faktor itu, mungkin akan ada yang memperlekehkan filem ini.

Namun nasihat penulis, jangan pandang filem ini sebelah mata. Jika anda boleh menerima filem seperti Dilwale, mengapa tidak memberi peluang kepada filem tempatan?-sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");