Berita Hari Ini

Bekalan air Melaka bertahan 6 minggu lagi

ALOR GAJAH: Bekalan air mentah di Melaka mampu bertahan sehingga tempoh enam minggu lagi, sebelum catuan air dijalankan jika kemarau berlarutan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron, berkata pengendali pusat bekalan air, terutama di kawasan berisiko tinggi, melakukan persediaan terbaik bagi menghadapi fenomena itu.

Beliau berkata, kerajaan negeri mempunyai pelan kontingensi bagi menghadapi musim kemarau berpanjangan dengan mengepam air dari Empangan Jus, Jasin ke Empangan Durian Tunggal di sini.

“Kerja mengepam air sudah dijalankan sejak minggu lalu, sekali gus dapat melegakan pihak pengurusan air di Empangan Durian Tunggal.

“Empangan Jus juga boleh bertahan selama tempoh enam minggu untuk membekalkan air ke Empangan Durian Tunggal,” katanya selepas merasmikan majlis pecah tanah pejabat baharu Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG), di sini, hari ini.

Pejabat baharu pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan yang bernilai kira-kira RM28 juta itu bakal siap sepenuhnya pada Jun 2018.

Yang turut hadir, EXCO Perumahan, Alam Sekitar dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Ar Ismail Othman dan Yang Dipertua MPAG, Datuk Murad Husin.

Mengulas lanjut, Idris berkata, paras air di Empangan Durian Tunggal meningkat sebanyak 10 peratus selepas hujan lebat di sekitar Melaka selama hampir dua jam, petang semalam.

“Paras air empangan itu meningkat daripada 48 hingga 55 peratus.

“Jika hujan lebat seperti petang semalam berterusan selama tempoh seminggu berturut-turut, barulah kita boleh menarik nafas lega,” katanya.

-Berita Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");