Membawang Hari Ini

Bergaduh demi hasil terbaik

Dua kali layak ke pentas akhir Maharaja Lawak Mega (MLM) namun tidak berupaya mengejar kejuaraan dan merebut wang tunai RM500,000 yang ditawarkan.

Bagaimanapun, pengalaman yang ada dipergunakan sebaik-baiknya dan akhirnya rezeki menjadi milik Achey, Abam dan Fad apabila diangkat sebagai juara MLM2016.

Di atas kertas, mereka dianggap mudah untuk bergelar juara kerana tiada pesaing yang kuat dalam MLM kali ini.

Hakikatnya, kumpulan Bocey mengakui saingan yang diberikan sangat sengit dan mereka hanya bergantung pada nasib untuk muncul juara kerana persembahan yang konsisten setiap minggu.

“Kami akui ramai yang beranggapan begitu. Memang MLM kali ini nampak mudah tapi saingan yang diberikan peserta lain tetap hebat.

“Mereka dianggap baru, tetapi persembahan sangat menonjol terutama pada saingan pentas akhir.

“Semua pihak memberi tumpuan penuh kepada kami sehinggakan kami terpaksa memerah idea tampilkan apa yang tak pernah ditampilkan sebelum ini,” kata Fad membuka perbualan.

Abam pula mengakui bukan mudah untuk mencari idea segar untuk berlawak sehingga ada kalanya mereka bergaduh sesama sendiri.

“Ia adalah perkara biasa. Cuma ia taklah berlarutan sampai menjejaskan hubungan sesama kami.

“Bocey mempunyai keserasian dan hubungan akrab itulah yang membawa kejayaan buat kami.

“Dalam pentas akhir ini, kami lihat kumpulan Puteh sangat menyerlah membuatkan kami berhati-hati dengan mereka.

“Tapi sejak awal lagi kami tanamkan tekad persembahan pada pentas akhir hanya untuk ‘enjoy’. Samada menang atau kalah bukan perkiraannya,” katanya.

Sementara Achey pula jujur mengakui nasib menyebelahi mereka kerana pengundi membuat penilaian sejak minggu pertama lagi.

“Kami tunjukkan persembahan konsisten dan setiap sketsa kami selama 13 minggu hingga pentas akhir dinilai penonton.

“Kalau ikutkan sesiapa saja boleh menang dan penonton juga sudah bijak untuk mengundi,” katanya.

Sampuk Fad sekali lagi, tidak semua anggota sesebuah kumpulan berani bercakap jujur kerana bimbang melukakan hati yang lain.

“Kami ambil sikap bergaduh dulu untuk kebaikan. Ini lebih baik daripada simpan sendiri kerana lama-kelamaan boleh memburukkan diri sendiri,” katanya.

Sebagai tanda kesyukuran di atas kemenangan yang diraih, Bocey bercadang mengadakan kenduri dan mengajak semua peminat menghadirinya nanti.

Biarpun memberikan persaingan hebat, kumpulan Joras yang dianggotai oleh Rahim, Shuk dan Joey akur hanya mampu menduduki tempat kedua.

Rahim berkata, sasaran mereka hanya untuk berjaya ke pentas akhir dan kejayaan menduduki tempat kedua ini dianggap satu bonus.

“Ia bukanlah soal kalah menang sebaliknya kepuasan dalam menghibur penonton sehingga mendapat sorakan. Itulah matlamat utamanya.

“Kami sudah berikan saingan sengit dan percaya tewas kerana kekurangan undian penonton.

“Bahkan, saya sampai tak boleh tidur semata-mata untuk mencari idea bagi persembahan untuk pentas akhir.

“Kebetulan saya sendiri susah tidur malam, jadi saya manfaatkannya sebaik mungkin. Saya juga puji Joey dan Shuk kerana walaupun mereka sibuk dengan karier masing-masing, kedua-duanya tetap memberikan komitmen dengan hadir berjumpa saya biarpun pada lewat malam untuk berbincang mengenai persembahan kami,” katanya.

Rahim juga tidak menafikan Joras pernah berselisih faham dalam mencari idea persembahan mereka.

Bagaimanapun, mereka akhirnya mencari jalan penyelesaian dan bersepakat apa yang dipentaskan kepada peminat adalah atas persetujuan bersama.

Kumpulan Puteh pula ternyata menghiburkan dengan persembahan meyakinkan yang ditunjukkan serta mencipta kejutan apabila memenangi tempat ketiga MLM2016.

Menariknya, ini adalah penyertaan sulung bagi Ali dan Mamak yang dilahirkan menerusi program Projek Komedi Warna.

“Kami menduduki tempat kedua pertandingan itu. Alhamdulillah. Kemenangan ini adalah satu rezeki apatah lagi kami calon bukan pilihan (underdog).

“Ini juga rezeki Ali yang akan berkahwin dengan gadis pilihannya hujung bulan ini. Istimewanya dalam MLM, kami melalui pelbagai pengalaman antaranya bergaduh, menangis dan macam-macam lagi.

“Selama 14 minggu bersiaran, kami menimba pengalaman kerana MLM sebuah pertandingan yang besar,” kata Mamak.

Ali pula sengaja mahu merahsiakan identiti dirinya adik kepada Abam kerana tidak mahu dikatakan menggunakan populariti abangnya.

“Saya gembira kerana berada satu pentas dengan abang sendiri pada pentas akhir. Sebelum ini kami sudah berbincang nak gunakan sebahagian wang kemenangan untuk menghantar emak menunaikan haji,” katanya.

MLM2016 tetap menyengat

Sementara itu, Ketua Saluran dan Kandungan Komedi Astro Warna Bob Azrai berkata, aura MLM2016 tetap menyengat walaupun tiada penyertaan daripada barisan pelawak senior seperti Nabil, Johan dan Zizan Razak.

“Semua pelawak yang menyertai MLM2016 dilihat bertungkus-lumus mengeluarkan material yang terbaik untuk penonton.

“Bagaimanapun, kami selalu berpesan kepada mereka agar jangan mengejar kemenangan semata-mata sebaliknya berseronok apabila berada di atas pentas.

“Pastinya, apa yang dilakukan secara ikhlas, melahirkan kepuasan yang berbaloi,” katanya.

Katanya lagi, pada masa sama juga, MLM berperanan menjadi platform terbaik buat pelawak di negara ini terutama muka baru.

“Pelawak baru ini selalunya belum dikenali bahkan mereka juga kurang mendapat pendedahan.

“MLM salah satu platform yang terbaik buat mereka mengembangkan bakat. Itulah sebabnya, Astro sangat mengutamakan untuk memberi ruang dan peluang kepada barisan pelawak baru untuk mengembangkan lagi dunia komedi di negara ini,” katanya.

-harian Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");