Berita Hari Ini

Buka peluang asnaf jana pendapatan

PASIR PUTEH – Seramai 29 asnaf menerima rumah serta diberi peluang menjana pendapatan dengan mengusahakan tanaman cili menerusi Program Penempatan Agroekonomi Desa Alam Shah di Kampung Gong Jenarah, Bukit Awang, dekat sini.

Program kerjasama strategik di antara Lembaga Zakat Selangor dan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) itu membabitkan kos RM8.3 juta dalam kawasan seluas lebih 15 hektar.

Pengerusi Lembaga Zakat Selangor, Tan Sri Syed Anwar Ibni Tuanku Syed Putra Jamalullail berkata, golongan asnaf menerima rumah yang lengkap dengan perabot dan kemudahan asas.

Katanya, kawasan pertanian seluas 0.46 hektar kepada setiap peserta disediakan bagi membolehkan penghuni Desa Alam Shah itu mengusahakan tanaman cili kulai di bawah bimbingan Kelab Cili Nestle dan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Bukit Awang.

“Hasil cili dibeli secara kontrak oleh Nestle (M) Berhad, setiap dari mereka dijangka menjana pendapatan RM1,200 sebulan selain diberi bimbingan dalam tempoh lima tahun bagi mengubah kehidupan dan membebaskan diri dari kelompok kemiskinan.

“Program di bawah projek ‘Selangor Prihatin’ ini berjaya mewujudkan kawasan penempatan baharu berasaskan agroekonomi bagi membela nasib kumpulan sasaran yang dihimpit kemiskinan,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian dan Pengurniaan Kunci Rumah Kepada Penghuni Desa Alam Shah di sini, semalam.

Majlis itu disempurnakan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V yang disaksikan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Turut hadir Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Tengku Temenggong Kelantan, Datuk Tengku Muhammad Rizam Tengku Aziz; Timbalan Yang Dipertua Maik, Dr Nik Mohd. Azlan Abdul Hadi.

Majlis juga dihadiri Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah dan Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor, Datuk Setia Mohamad Adzib Mohd Isa.

Syed Anwar berkata, projek itu adalah inisiatif dan keprihatinan Sultan Selangor agar manfaat zakat Selangor dapat disalurkan ke negeri Kelantan sebagaimana berjayanya projek yang sama yang telah dilaksanakan di Taman Desa Asnaf, Perlis pada tahun 2013.

Tambahnya, kawasan itu turut dilengkapi kemudahan asas seperti surau, dewan serbaguna, pusat sumber, kedai runcit, jalan berturap dan padang permainan bagi memberi keselesaan kepada peserta terlibat.

“Aspek pendidikan, agama, akademik, sosial serta ekonomi kumpulan sasaran diberi fokus yang mana ia dibangunkan dengan kerangka pelaksanaan yang tersusun di bawah pemantauan Lembaga Zakat Selangor selama dua tahun.

Salah seorang penghuni Desa Alam Shah yang ditemui, Azwan Mat Jais, 36, berkata, program itu memberi semangat kepada keluarganya untuk keluar dari kedaifan hidup dengan pendapatan yang tidak menentu.

“Saya bersyukur kerana memiliki rumah secara percuma. Selama ini saya menumpang rumah ibu saya. Ini merupakan peluang keemasan untuk kami berusaha pendapatan lebih baik,” katanya.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");