Sukan Hari Ini

Devan tidak salahkan pemain

PENGENDALI Kelantan, K Devan tetap berpuas hati dengan persembahan pasukannya meskipun tewas 0-2 kepada Felda United FC dalam aksi Liga Super di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka, malam kelmarin.

Devan berkata, dia akur dengan kekalahan itu dan enggan menyalahkan barisan pemain setelah pasukannya sekali lagi gagal meneruskan misi untuk mengutip mata penuh di gelanggang lawan.

“Saya rasa perlu beri pujian kepada semua pemain tempatan. Mereka menunjukkan satu permainan yang baik malam ini (kelmarin) dan kita masih dapat memberi saingan ke atas Felda walaupun hanya menurunkan satu pemain import.

“Saya boleh katakan Kelantan agak kurang bernasib baik. Kita sebenarnya ada peluang untuk menjaringkan gol dalam pertemuan ini,” katanya kepada pemberita sejurus perlawanan itu.

Dalam perlawanan itu, Lutfulla Turaev membuka tirai jaringan pada minit ke-41 sebelum Francis Forkey Doe menggandakan gol sembilan minit kemudian sekali gus memastikan skuad The Fighters mengukuhkan cengkaman di tangga teratas liga.

Kekalahan tersebut menyaksikan skuad pantai timur itu tergelincir ke tangga keenam apabila hanya mengumpul 12 mata daripada 10 perlawanan yang diharungi, setakat ini.

Jurulatih berusia 54 tahun itu berkata, dua gol yang dihasilkan oleh anak buah skuad kendalian Irfan Bakti Abu Salim itu berpunca daripada kelonggaran benteng pertahanan mereka dalam perlawanan itu.

“Bahagian pertahanan sekali lagi melakukan kesilapan. Kita perlu memperbaiki kelemahan ini sebelum perlawanan terakhir pusingan pertama bertemu Selangor, pada 18 Mei ini,” katanya.

Dalam masa sama, Devan mengakui faktor beraksi di atas padang rumput tiruan turut menyumbang kepada kekalahan keempat pasukannya dalam saingan pusingan pertama itu.

“Saya nampak mungkin (faktor padang) memberi kesan, pemain kita tak boleh melakukan hantaran silang. Budak-budak (pemain) tak biasa (beraksi) dengan (permukaan) padang seperti ini sehingga sukar melakukan rembatan,” katanya.-sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");