Sukan Hari Ini

Hadiah sebelum pergi

London: Manuel Pellegrini berjanji untuk memberikan Manchester City hadiah perpisahan paling istimewa dengan menempah tiket ke Liga Juara-Juara dan mengorbankan Manchester United, manakala skuad juara Leicester akan melabuhkan tirai aksi musim menakjubkan menentang Chelsea malam esok.

Memandangkan kempen Liga Perdana yang diingati kini hampir ke penghujungnya dengan perlawanan akhir hujung minggu ini, tumpuan terarah kepada perang dua kelab Manchester untuk merebut tiket terakhir Liga Juara-Juara serta perlawanan akhir yang sempurna buat Leicester ketika skuad juara itu beraksi di laman pasukan juara musim lalu.

Bagi pengurus City Pellegrini, kunjungan kelabnya ke Swansea menawarkan peluang untuk penyudah cemerlang ketika jurulatih Chile itu menyempurnakan tugas terakhir menjelang ketibaan Pep Guardiola yang berpindah dari Bayern Munich ke Eastlands sebaik musim berakhir.

City di tangga keempat, kini dua mata mengatasi United dan dengan perbezaan jaringan 30 gol berbanding skuad di tangga kelima itu yang miliki julat 12 gol. Justeru, skuad Pellegrini hanya memerlukan keputusan seri di Wales untuk layak ke Liga Juara-juara dan menyingkirkan jiran mereka ke Liga Europa.

Selepas tiga tahun dan tiga trofi bersama City, Pellegrini mahu mengucapkan selamat tinggal dengan bergaya.

“Kami sentiasa berada dalam Liga Juara-Juara untuk 37 perlawanan, jadi saya fikir kami berhak beraksi dalam saingan itu,” katanya.

“Semua ini membabitkan gaya. Bagi saya adalah penting untuk menjadi pasukan dengan jaringan terbanyak selama tiga musim selain sentiasa berada dalam Liga Juara-Juara dan menang tiga gelaran.”

Kekalahan United di tangan West Ham 2-3 menyebabkan mereka perlu menentukan nasib sendiri dan anak buah Louis van Gaal menanti Bournemouth dengan kesedaran hanya kemenangan, selain kekalahan City di tangan Swansea cukup untuk mereka merebut tiket empat teratas.

Biarpun situasi tidak menentu, pemain tengah United Michael Carrick, yang skuadnya akan menentang Crystal Palace pada final Piala FA Cup 21 Mei ini menggesa rakan sepasukannya tidak memandang rendah pertemuan menentang Bournemouth.

“Kami perlu sentiasa fokus, itulah situasi ketika ini,” kata Carrick.-harian metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");