Membawang Hari Ini

Hanya ambil kritikan positif

Baru mahu melakar nama di pentas teater menerusi pementasan Ombak Rindu arahan A Aris kadir, pelakon jelita Uqasha Senrose, 25, dikecam pelbagai

pihak yang kurang senang dengan lakonannya.

Bukan bagus atau tidak persembahannya yang menjadi perbualan sebaliknya babak bersentuhan dengan teman gandi­ngannya, Keith Foo mengundang kritikan pedas.

Uqasha yang kini manis berhijab dikatakan tidak wajar menjayakan aksi itu malah

tindakannya diselar mencemar imej wanita bertudung.

Kakak kepada pelakon Nelydia Senrose ini bagaimanapun lebih selesa memberi maklum balas mengenai prestasi lakonannya daripada memperkatakan isu ini.

Wartawan RAP, Georgie Joseph ([email protected]) berjaya menebak hati Uqasha untuk berkongsi pengalaman dan pandangannya mengenai perkara ini.

RAP: Pertama sekali, tahniah kerana anda menjadi bintang utama pementasan Ombak Rindu di Istana Budaya.

Uqasha: Terima kasih. Naskhah novel Ombak Rindu berbeza dengan versi filem. Lantas, cabaran yang saya galas berbeza dengan di set penggambaran.

RAP: Boleh kongsikan pengalaman anda menjayakan pementasan ini?

Uqasha: Dalam teater ni, saya menggalas dua watak iaitu sebagai Izzah dan Suri. Ia bukan perkara mudah kerana saya perlu menjiwai dua karakter berbeza iaitu wanita lemah lembut dan lasak. Terus terang, untuk mendalami skrip pun sudah sukar inikan lagi apabila beraksi di atas pentas. Badan penuh dengan lebam kerana saya sendiri pun tak tahu apa yang saya langgar. Bagaimanapun, syukur kerana saya mendapat bimbingan pengarah yang tidak tidak pernah putus memberikan kata-kata semangat. Melihat semangatnya saya jadi lebih kuat.

RAP: Meskipun bekerja keras dan sudah melakukan yang terbaik, anda tetap dikritik terutama babak bersentuhan dengan Keith Foo. Sebagai pelakon, mungkin ada sesuatu yang ingin anda perjelaskan?

Uqasha: Kalau boleh saya tidak mahu komen lebih-lebih mengenai perkara ini. Sebagai pelakon saya tahu had saya ketika bekerja. Saya pelakon baru yang sentiasa berusaha memperbaiki diri dan mutu lakonan. Itu adalah sebahagian tuntutan apabila bergelar pelakon. Penghayatan meyakinkan adalah matlamat utama saya.

RAP: Adakah anda terkesan dengan komen pedas di laman sosial?

Uqasha: Setakat ini belum ada ulasan negatif media mengenai perkara ini. Sisi lakonan, majoriti ulasan adalah positif dan saya hanya ambil kritikan yang optimis. Bagi saya itu penting untuk memperbaiki mutu persembahan dan boleh memajukan saya.

RAP: Pandangan jujur anda terhadap Keith Foo sebagai rakan gandingan?

Uqasha: Selain pengarah, Keith gandingan yang bagus. Dia sangat profesional menjayakan setiap babak yang dipersembahkan. Dia juga tidak kedekut ilmu dan bersedia memberi tunjuk ajar kepada saya. Kami selalu berbincang bagi mengatasi sebarang kekurangan dalam persembahan.

RAP: Selepas teruk dikecam, adakah anda serik untuk beraksi lagi di pentas teater selepas ini?

Uqasha: Sebelum ini, sudah tiga kali saya ditawarkan menjayakan teater tetapi terpaksa menolak kerana kurang yakin kemampuan diri. Maklumlah saya orang baru, masih banyak yang perlu saya belajar. Pun begitu, selepas terbabit dengan Ombak Rindu, saya mula yakin dan tidak ada masalah jika ada tawaran lagi selepas ini. Namun, bukan dalam masa terdekat kerana untuk menjayakan teater saya kena tolak komitmen lain, baru boleh fokus.

RAP: Boleh kongsi projek terbaru anda?

Uqasha: Saya akan ter­ikat dengan penggambaran drama bersiri pertengahan bulan ini. Menerusi projek ini saya pegang watak utama dan penggambaran akan dilakukan di Maghribi.

-harian Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");