Panasnya Hari Ini

Hukum Hudud Boleh Cetuskan Krisis Perlembagaan

KUALA LUMPUR : Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, sekiranya Rang Undang-Undang (RUU) Persendirian mengenai hudud di Parlimen diluluskan, ianya akan mencetuskan krisis Perlembagaan.

Ujarnya, usul RUU Persendirian mengenai hudud yang dibawa oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang semalam juga akan membawa kepada krisis nasional.

“Perkara ini amat serius. Ia (hudud) akan menyebabkan krisis perlembagaan. Ia akan menjejaskan hubungan antara kaum di negara ini.

“Ia turut bertentangan dengan semangat Barisan Nasional (BN),”ujarnya, lapor mstar.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai kerjasama yang jelas antara UMNO dan PAS dengan membenarkan RUU itu dibentangkan.

Terdahulu, RUU Persendirian itu disenaraikan sebagai item Nombor 15 iaitu yang terakhir dalam peraturan mesyuarat Dewan Rakyat namun seorang Ahli Parlimen UMNO mengemukakan usul untuk mempercepatkan pembentangan RUU.

Bagaimanapun, Abdul Hadi meminta agar perbahasan mengenai usul itu ditangguhkan pada persidangan Dewan Rakyat pada Oktober hadapan.

Tiong Lai berkata, MCA dan parti-parti komponen BN yang lain merasa kecewa apabila mereka tidak dirujuk terlebih dahulu dan kelihatan seolah-olah UMNO mengetahui tentang perkara tersebut.

Malah, beliau turut menyifatkan tindakan itu sebagai satu tindakan yang membelakangi parti-parti komponen BN yang lain.

“MCA akan membincangkan perkara ini dengan parti-parti komponen yang lain,”tegasnya.

Dalam masa yang sama, beliau turut mengingatkan UMNO bahawa BN terdiri daripada 13 parti komponen dan kesemuanya telah bersepakat untuk menentang hudud di Parlimen.

Bagi MCA pula, Tiong Lai berkata, parti itu akan terus menentang perlaksanaan hudud di negara ini.

“Sekularisme di dalam Perlembagaan Persekutuan ditubuhkan mesti dilindungi,”ujarnya.

Ujarnya lagi, MCA bertekad untuk memastikan kerajaan mengekalkan struktur sistem undang-undang di Malaysia yang sedia ada, direka berdasarkan ‘semangat dan tujuan Perlembagaan Persekutuan’.

“Ini bagi memastikan keadilan untuk semua, tanpa mengira kaum, agama atau latar belakang dalam masyarakat sekular,”tegasnya.

Jika RUU tersebut diluluskan, ia akan memberikan kuasa kepada kerajaan negeri Kelantan yang diterajui oleh PAS untuk melaksanakan hukum hudud di negeri itu.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");