Sukan Hari Ini

Kecewa sikap FAS

TINDAKAN Selangor menyingkirkan Mehmet Durakovic selepas jurulatih dari Australia itu membawa skuad Gergasi Merah Kuning menjuarai Piala Malaysia 2015 menimbulkan banyak persoalan dalam kalangan peminat pasukan itu.

Tidak terkecuali, peminat nombor satu The Red Giants, Tengku Shakirinal Amin Shah Tengku Sulaiman Shah alhaj.

Tengku Shakirinal atau mesra dengan panggilan Tengku Nana akui kecewa apabila mengetahui Durakovic tidak lagi membimbing pasukan kesayangannya meskipun berjaya mengotakan janji untuk menghadiahkan Piala Malaysia kepada skuad Gergasi Merah.

Beliau berkata, keputusan diambil Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) adalah satu langkah ke belakang selepas mengambil kira pelbagai faktor termasuk keupayaan Durakovic membawa Selangor menamatkan kempen Liga Super 2015 di tempat kedua selain layak ke saingan Piala AFC 2016.

“Sudah tentu saya kecewa. Kenapa dia (Durakovic) diganti selepas kita berjaya julang Piala Malaysia?.

“Ini semua permainan politik dalaman FAS. Kalau bukan, apa lagi?.

“Sebaik sahaja Durakovic diganti, Selangor terlepas Piala Sumbangsih, tersingkir daripada kempen Piala FA dan terbaru gagal ke pusingan kedua Piala AFC,” katanya.

Perlu perubahan

TENGKU Nana yang juga penaung pasukan bekas pemain-pemain Selangor atau Veteran Selangor berkata, pengurusan FAS perlu bersedia melakukan perubahan bagi memastikan pasukan itu terus disegani.

Bukan mahu mencampuri urusan FAS, namun beliau hanya menyampaikan suara majoriti penyokong yang mahu suntikan baharu dalam pengurusan FAS yang mampu membawa perubahan dan idea-idea baharu.

“Ada individu yang sudah terlalu lama dalam FAS, sejak tahun 80-an lagi. Bagi saya, jika mahu maju kena ada perubahan. Idea baharu, orang-orang baharu.

“Satu ketika dahulu, Selangor adalah sebuah pasukan disegani dan dihormati. Kaya dengan sejarah. Kita adalah pasukan yang paling banyak memenangi trofi.

“Sekarang situasi sudah banyak berubah. Kita tidak lagi disegani dan tidak segah dahulu,” katanya.

Pengurusan lemah

PEMBANGUNAN akar umbi yang lembap antara penyumbang utama Selangor gagal melahirkan pemain berkualiti.

Menurut Tengku Nana, perkara itu mula kelihatan sejak tahun 90-an lagi apabila Selangor hanya mampu memancing pemain luar daripada memberi ruang dan peluang kepada pemain lokal.

“Pembangunan peringkat akar umbi dan remaja sangat perlahan. Itu faktor Selangor gagal melahirkan pemain berbakat.

“Kini, Selangor hanya mampu pancing dan tarik pemain luar. Siapa tidak mahu bermain untuk Selangor?

“Pasukan yang kaya dengan sejarah dan tradisi. Tapi, ini langkah jangka pendek, saya tidak setuju,” katanya.

Teruja lihat transformasi JDT

“SAYA akui agak kagum melihat apa yang dilakukan pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tengku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

“Dalam tempoh yang agak singkat, TMJ mampu merubah pasukan JDT menjadi kelab disegani bukan sahaja di negara ini malah di peringkat Asia,” katanya.

Tengku Nana berkata, visi TMJ yang mahu melihat JDT maju dalam bola sepak harus dicontohi dan perkara seumpama itu harus diteladani oleh semua pasukan dalam Malaysia.

“Teladan yang baik. Cuma saya tiada peluang dan ruang seperti TMJ. Mungkin masanya belum tiba,” katanya.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");