Membawang Hari Ini

Lagi projek kediaman artis

Walau jauh di luar negara kerana bercuti, berita dunia hiburan tetap tidak dilupakan. Paling menjadi bualan, projek banglo mini untuk selebriti yang dilancarkan baru-baru ini.

Bukan kali pertama projek seperti ini diadakan. Malah persatuan artis pun pernah melakukannya tidak lama dulu.

Ada yang bekerjasama dengan kerajaan negeri untuk pembelian tanah khusus untuk kalangan seniman tanah air membina rumah ala-ala di Hollywood. Ada yang bekerjasama dengan pemaju perumahan, untuk kemudahan artis yang sukar mendapatkan pinjaman bank membeli rumah.

Harganya memang murah, jauh lebih rendah daripada yang ditawarkan pemaju perumahan. Namun demikian, apa jadi dengan semua projek itu?

Berjayakah mereka membantu kalangan artis tanah air? Maaflah, rasanya ia sekadar meriah ketika pelancaran, selepas itu senyap saja.

Lebih malang lagi, kedengaran cerita ada yang menjadi mangsa penipuan. Duit pendahuluan sudah dibayar tetapi projek dirancang tidak nampak bayang.

Media yang memberi publisiti kepada projek itu pula yang dipersalahkan. Jika pengusaha projek kali ini benar-benar ikhlas hendak membantu, biarlah betul caranya memandangkan yang hendak dibantu pun bukan orang lain, kalangan rakan mereka juga.

Sebaiknya belilah iklan di akhbar untuk uar-uarkan projek mereka, tidak sekadar majlis pelancaran dan undang media membuat liputan. Apa-apa pun yang berlaku nanti, media tidak dipersalahkan.

Dari setinggan ke rumah besar

Membesar di rumah setinggan di tengah-tengah ibu kota, melalui keperitan dan kesusahan hidup dalam keluarga yang serba kekurangan.

Itu antara rentetan perjalanan awal dilalui pelakon dan penerbit Datuk Rosyam Nor, 49, sebelum meraih kejayaan seperti sekarang.

Dilahirkan di Kuala Lumpur pada 1 Mac 1967, Rosyam atau Mohd Nor Shamsuddin kini tidak saja terus bertahan sebagai pelakon disegani, malah melakar kejayaan sebagai ahli perniagaan hingga bergelar jutawan.

Kesusahan hidup di rumah yang sempit dan serba kekurangan, menerap azam kepadanya untuk mengubah nasib keluarga. Rosyam tidak mahu anak-anaknya melalui kesusahan yang pernah dilaluinya dulu.

Ketika usianya 41 tahun, Rosyam berjaya membeli rumah besar untuk keluarganya. Rosyam juga membina rumah yang selesa untuk ibunya.

Namun, semua itu tidak datang dalam sekelip mata. Kerja keras, tabah, kuat semangat dan berjiwa kental antara rahsianya.

Semua pengalaman ini diluahkan Rosyam dalam buku biografinya, Impian Jutawan Budak Setinggan.

Majlis pelancarannya dilakukan di Bangsar South (dulu Kampung Kerinchi) pada 12 April lalu kerana tempat itu cukup bermakna buat Rosyam. Di situlah dia dilahirkan dan dibesarkan, tempatnya bermain ketika zaman kanak-kanak.

Apabila dirinya berjaya, tempat itu menjadi satu memori yang sukar dilupakan.

Insan penting dalam hidupnya, ibunya, Rubiah Kamaruddin dipilih melancarkan bukunya. Turut hadir isteri, anak-anak perempuannya serta cucu perempuannya dan ahli keluarganya.

Besarlah harapan Rosyam agar pengalaman dan perjalanan hidupnya itu memberi inspirasi kepada mereka yang membaca buku ini supaya turut berjaya.

Bak kata Rosyam dalam bukunya, “Ternyata aku dicipta untuk melalui jalan yang jarang diteroka oleh mereka yang sebaya aku. Sebagai ganjaran, Allah berikan juga kejayaan.”-harian metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");